Assalamualaikum ..

Assalamualaikum :)

Rabu, 16 Oktober 2013

Kebahagiaan Dalam Pencarian ~

Bismillah . Assalamualaikum .

setiap orang pasti pernah jatuh cinta. Namun bagi yang menjaga iman dan diri, pasti dipendamkan dahulu, cuba berusaha dengan cara yang betul untuk meraih cinta tersebut. Berusaha untuk tidak mencemari diri dari melakukan perkara-perkara yang mampu mencalarkan maruah diri dan sebagainya.
Jangan jadi manusia terhegeh-hegeh dan terlalu menguja.
Wanita fitrahnya adalah seperti daun semalu, yang berduri dan bila disentuh tertutup malu. Seperti bunga mawar yang indah namun penuh berduri tajam. Jangan dihilangkan fitrah itu, kerana cinta anda sanggup mengejar sesuatu yang pasti bukan kepunyaan anda.
Seringkali kerisauan mengenai jodoh menjadi pendorong kepada berlakunya ikatan kemanusiaan jantina yang berbeza yang tiada nilai di sisi agama - bercouple tanpa sah!
Atas alasan takut diri tidak laku, maka jika sesiapa lelaki yang menghulur cinta maka terus diterima tanpa berfikir dengan akal yang waras. Maka ketetapan Allah mengenai jodoh tidak dipeduli kerana kerisauan yang sering menghantui diri.
Sudah dibilang pelihara diri anda, maka peliharalah kerana itu bukan sesuatu yang merugikan. Namun, jika diri sudah terperangkap dengan mainan emosi kerisauan ini, segeralah bermuhasabah.
Ya, benar.. saya akui, jodoh tidak akan bergolek, ia perlu dicari. Namun, pencarian anda itu bagaimana caranya? Adakah mengikut syariat atau tidak? Adakah anda yakin pacar anda sekarang pasti meminang anda atau tidak?
Dan akhirnya pasti kalian menjawab, "terserah pada Allah, moga inilah jodohku.."
Nah, akhirnya anda sendiri akur untuk berserah juga akhirnya, tetapi berserah setelah mengikut pencarian yang salah, anda sendiri mampu menafsir apa yang berlaku seterusnya.
Saya tidak menafikan juga bahawa kebahagiaan itu tidak mampu dinilai. Tapi sedarlah wahai sekalian sahabatku, kita sering bermimpi indah selepas perkahwinan, punya anak-anak yang soleh dan sebagainya, tapi hakikatnya kita masih kabur dalam menilai erti perkahwinan itu sendiri.
Seharusnya perkahwinan ini mampu menghasilkan generasi Islam yang lebih mantap, bukan pewaris kepada dosa-dosa yang kalian sudah lakukan sebelumnya.
Tuntasnya, saya mahu mengingat kepada diri serta sahabat sekalian bahawa carilah jodoh anda dengan cara yang paling diredhai oleh Allah.
Berpacaran bukanlah jalan terbaik untuk mengatasi masalah kerisauan anda tentang jodoh. Jika indah akhlak kalian, menjaga peribadi anda, jodoh itu sendiri datang kepada kalian tanpa disedari.
Mahu pasangan yang soleh dan solehah? Andalah yang perlu menjadi soleh atau solehah dulu...
Mintalah kepada-Nya, kerana hanya Dia  yang Maha Mengetahui jodoh terbaik untuk kalian.
Apa yang perlu kalian lakukan sekarang bukanlah menjalin hubungan mesra dengan pacaran tetapi jalinlah hubungan mesra dengan Yang Maha Memiliki!
Jangan sekadar mohon jodoh, namun mohonlah juga keturunan yang baik kerana itu bisa menjadi penyejuk mata dan hatimu.
-copypaste-

Sabtu, 17 Ogos 2013

Suasana di Bulan Syawal :) ~

Bismillah . Assalamualaikum . 

Maaf dipinta kerana sudah lama tidak meng-update blog ini . Sejak kebelakangan ini , saya agak sedikit sibuk dengan urusan2 . Alhamdulillah , pagi ini , saya diberi kesempatan waktu untuk meng-update . Walaupun terpaksa mencuri sedikit waktu . (kali ni update pakai handphone je . Sambil dukung baby)

Pertama sekali , rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri , Maaf Zahir & Batin kepada semua yang mengenali saya , tidak kiralah samada pernah bertentang mata bersua muka atau sekadar kenal di alam maya sahaja . Saya memohon ampun dan maaf kepada anda semua sekiranya ada salah silap yang saya lakukan sehingga mengguris rasa hati . Saya hanya manusia biasa yang takkan terlepas dari membuat kesalahan dan dosa . Maafkan saya .

Seterusnya , saya ingin berkongsi tentang perjalanan aktiviti saya sejak dari permulaan syawal sehinggalah ke hari ini . Seperti biasa , persediaan ingin menyambut syawal hanya biasa2 dan sederhana sahaja . Tiada yang berbeza berbanding sambutan syawal sebelum ini . Tema keluarga saya pada tahun ini ialah warna merah dan biru . (Dah macam warna Johor kan ? Luaskan Kuasamu . Hehee) . Pada tahun ini , saya dan keluarga pulang beraya di kampung halaman ayah iaitu di Kota Tinggi , Johor . Kami bertolak pulang ke sana pada pagi raya selepas selesai solat sunat Aidilfitri . Sebelum bertolak , saya sekeluarga sempat juga bergambar bersama-sama sebagai kenang-kenangan di Aidilfitri tahun ini . Memandangkan pada hari raya pertama kedai atau restoran kebanyakannya tidak dibuka , jadi saya telah menyiapkan bekalan untuk kami sekeluarga sekiranya lapar ketika dalam perjalanan pulang ke kampung . Saya dan keluarga berhenti rehat seketika sambil menjamu selera makanan yang dibawa ketika di Mersing . Boleh dikatakan kami berkelah di hari raya kerana ayah berhenti rehat di kawasan tepi laut . Sungguh nyaman disitu , ditambah pula dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa . Setelah selesai menjamu selera & bergambar di tepi laut , kami menyambung perjalanan . Alhamdulillah , lebih kurang pada jam 3 petang , saya dan keluarga selamat tiba di kampung halaman . Kami sekeluarga pulang beraya di kampung selama 3 hari sahaja memandangkan pada hari raya ke-empat abang terpaksa pulang ke tempat belajarnya . Meskipun hanya 3 hari sahaja , tetapi Alhamdulillah kami sempat menziarahi semua sanak saudara yang berada di Johor . (cuma rumah En. Nadzri je tak berpeluang nak pergi . Tak kenal rumah + takut pengsan pulak bila jumpa beliau . Haha) . In shaa Allah , 23hb ni saya dan keluarga akan pulang lagi ke Johor atas jemputan kenduri kahwin saudara mara .

Kelmarin , 16 Ogos , saudara mara saya dari Terengganu datang ke rumah . Lebih kurang 5 buah keluarga datang dan menginap disini . Memandangkan ramai berkumpul , ibu telah menyediakan beberapa hidangan . Antaranya ialah lontong + sambal bilis , rendang daging , nasi arab + gulai ayam kampung , ketupat palas dan ketupat nasi . Riuh jadinya dengan gelak tawa sepupu-sepupu yang bermain-main sesama mereka . Alhamdulillah , gembira rasa apabila dapat berkumpul ramai-ramai sebegini . Hari ini , selesai sahaja sarapan pagi , ayah mengajak mereka pergi bermandi kolam . Bukan main teruja lagi mereka . 

Dikesempatan ini juga , saya ingin mengucapkan tahniah kepada Mohd Nadzri atau lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu diatas kemenangan beliau semalam di Anugerah Lawak Warna bagi kategori Artis Lelaki Komedi Popular . Walaupun saya tidak dapat menyaksikan sendiri siaran langsung semalam , namun apabila mendapat makluman tentang kemenangan anda , saya cukup terharu dan gembira mendengarnya . Alhamdulillah , rezeki dari Allah untuk anda diatas usaha anda selama ini . Tahniah diucapkan . Semoga anda terus berjaya .

Akhir kata , sekali lagi saya ingin memohon keampunan jika ada salah dan silap yang saya lakukan . Semoga anda semua sentiasa diberkati , diredhai dan sentiasa berada dibawah lindungan rahmat Allah swt . In shaa Allah .

-tiada yang lebih menggembirakan dan membahagiakan ibu bapa melainkan anak yang soleh/solehah yang dapat membawa mereka ke syurga-

Selasa, 30 Julai 2013

Engkau Inginkan Redha Allah , Tapi ... ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Duhai diri yang disayangi , ada sedikit pesanan buatmu .

Kau kata , kau nak cari redha Allah .

Betulkah ?
Betulkah kau nak cari redha Allah ?

Kalau betul , kenapa kau tidak serius ?
Kenapa kau masih bermalas-malasan ?
Kenapa kau tangguh-tangguh kebaikan ?
Kenapa kau melayan sesuatu yang merosakkan ?
Kenapa kau masih tidak bersungguh-sungguh ?

Kenapa ? Kenapa dengan dirimu ?

Tanyalah kembali hatimu , wahai diri .
Betulkah kau mahu redha Allah ?
Betulkah kau mahu cinta kasih-Nya ?

Sekiranya betul , tunjukkanlah bahawa kau betul-betul mahu .
Jangan sekadar 'mahu' yang keluar di bibir .
Hanya cakap-cakap biasa .

Tapi buktikanlah 'mahu' itu dengan usaha .
Buktikan dengan tindakan .
Kau betul-betul mahu , bukan ? Maka buktikanlah .

Buktikan pada siapa ?

Buktikan pada Allah 'Azza Wa Jalla .
Buktikan kesungguhanmu dalam menagih kasih-Nya .
Biar Allah sendiri menyaksikan bahawa kau benar-benar mahukan redha-Nya .

Bila ?

Bermula pada detik ini , saat ini . Jangan ditangguh-tangguhkan lagi .

Sudah berlalu masa yang panjang dalam kehidupanmu .
Apakah ingin kau meneruskan hidup tanpa besungguh-sungguh mencari redha Allah ?

Cukup . Cukuplah masa lalu yang sia-sia itu .

"Inilah masanya !"

Hayatilah bagaimana Allah 'Azza Wa Jalla memujuk kita untuk serius dalam mencari redha-Nya .

Firman Allah swt :-
(Surah Al-Hadid , ayat 16)

Tidakkah dirimu memahaminya ?

Mengapa kau menangis ? Menyesali dirimu ?

Sudahlah .
Kesat air mata sesalmu dan mulakan langkahmu .
Bergeraklah mengatur dunia yang sementara ini .
Bergeraklah berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya .
Agar dirimu menuju Siratul Mustaqim .
Jalan lurus yang penuh duri dan rintangan .
Jalan lurus yang ditempuh sekalian kekasih-Nya .
Jalan lurus yang membawa ke Syurga-Nya .

Allah yang ingin kita cintai telah menetapkan bahawa itulah jalan yang mesti ditempuh oleh semua kekasih-Nya .

Firman Allah swt :-
(Surah Al-Baqarah , ayat 214)

Bergeraklah , dan teruskan bergerak . Biar dirimu menjadi khalifah yang serius mengabdikan diri kepada-Nya .
Hanya kepada-Nya .

Pada saat hatimu bersuara ;

"Aku hamba Allah yang mahu menjadi kekasih-Nya"

Maka buktikanlah .

"Ya Allah , tunjukkanlah aku jalan yang lurus itu . Berikanlah aku kekuatan dan petunjuk dalam mengusahaan kehidupanku kerana-Mu , agar pengakhiran hidupku beroleh rahmat dan keredhaan daripada-Mu . Tetapkanlah hatiku ini , Ya Allah" Aamiin Ya Rabbal 'Alaamiin .

-coretan untuk diri ini dan juga untuk semua yang membaca . Semoga bermanfaat . In shaa Allah-

Selasa, 23 Julai 2013

"Bila Nak Kahwin ?"

Bismillah . Assalamualaikum .

Apa khabar saudara/i ? Semoga saudara/i sentiasa diberkati dan berada didalam lindungan Allah s.w.t . Boleh dikatakan lebih kurang seminggu saya tidak menjengah blog ini ye . Maaf dipinta . Kebelakangan ini saya agak sibuk . Tambahan pula dengan ketiadaan idea untuk meng-update . tetapi Alhamdulillah , syukur ke hadrat Ilahi kerana hari ini , saya berpeluang untuk meng-update blog ini bagi berkongsi ilmu-ilmu yang bermanfaat . In shaa Allah . :)

Berbalik pada tajuk entri kali ini . "Bila Nak Kahwin ?"

Pada saat usia mencecah alam dewasa , pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu perkara yang amat mengusutkan fikiran kita . Soalan-soalan yang dilontarkan oleh insan sekeliling biarpun secara gurauan terasa sangat menyentap perasaan . Bila berseorangan , kita rasa kurang keyakinan , rasa serba kekurangan , malu dan tertekan .

Ketika berkumpul bersama kawan-kawan , ramai antara mereka yang sudah menimang cahaya mata , sedangkan kita hanya mampu memandang dan bermonolog dalam hati "bilakah waktunya aku akan mengalaminya juga ..." Hati rasa lebih tersentuh apabila ibu dan ayah kita memeluk dan mencium anak orang lain . Kita faham itu tandanya mereka sangat mendambakan cucu mereka sendiri .

Tapi itu semua kehendak Allah , bukan kehendak kita . Tiada siapapun didalam dunia ini mahu hidup berseorangan . Namun , kita harus akur dengan takdir Allah yang masih belum mengizinkan kita untuk bertemu jodoh . Kita harus berikhtiar , bersabar , dan jangan sesekali berputus asa . Kerana jodoh itu rahsia Allah . Bila , siapa , dimana , dan bagaimana , itu semua hanya Allah yang Maha Mengetahui .

Dalam menghadapi saat ini , usahlah diturutkan sangat dengan tekanan perasaan dek sindiran insan sekeliling . Tapi cubalah ikhtiar dan muhasabah diri kita . Adakah sudah cukup usaha dan ikhtiar kita dalam mencari jodoh ? Adakah kita pernah minta pada Allah supaya diringankan jodoh pada setiap kali sujud kepada-Nya ? Berapa kali kita bangun dan bersolat hajat pada malam hari memohon dipermudahkan jodoh ? Pernahkah kita solat sunat Dhuha , memohon limpahan rezeki berupa jodoh yang baik dan keluarga yang sakinah ? Berapa kali kita solat taubat memohon keampunan agar doa kita untuk mendapat jodoh tidak terhalang disebabkan dosa-dosa silam kita ? Dan cukupkah ikhtiar kita dengan solat istikharah agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan pilihan hanya kerana terdesak ?

Selain itu , cuba kita muhasabah diri kita . Adakah ikhtiar kita selama ini menepati syariat yang digariskan oleh Allah ? Adakah kita sudah menahan diri daripada bergaul bebas dengan mereka yang bukan mahram ? Adakah kita sudah menjaga diri daripada berhias berlebih-lebihan hanya untuk menarik perhatian kaum lelaki ? Seandainya sudah menepati syariat , tetapi masih gagal , redha dan yakinlah bahawa Allah telah merancang yang terbaik buat kita . Teruskan usaha dan bersabarlah .

Namun , disebalik ikhtiar dan kesabaran , kita juga harus mengkaji apakah hikmah ujian Allah terhadap kita yang lambat jodoh . Mungkin kita hanya memandang kelebihan orang yang cepat jodoh , dapat menjadi ibu dan bapa lebih awal dan dapat melaksanakan sunnah lebih awal . Tetapi sedarkah kita , yang lambat jodoh juga masih punya kelebihan ? Saat inilah masanya untuk kita berbakti kepada ibu bapa kita . Bila kita sudah berumah tangga , keadaan mungkin berbeza kerana terpaksa membahagi masa untuk keluarga sendiri dan juga untuk ibu bapa . Saat ini jugalah masanya untuk kita menimba ilmu sebanyak-banyaknya . Dalami ilmu agama , ilmu untuk menguruskan rumah tangga , dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar kita lebih bersedia apabila tiba saatnya nanti .

Akhir sekali , usahlah bersedih hati . Setiap yang berlaku ada hikmahnya . Jaga iman dan hati agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu . Bagi wanita , jaga maruah seorang wanita . Jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal yang masak ranum di puncak pohon , tapi akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya .

Sekian sahaja perkongsian saya untuk kali ini . Semoga bermanfaat . In shaa Allah . :)

-kepada insan yang masih belum bertemu jodoh , saya doakan semoga anda cepat bertemu jodoh dengan orang yang baik2 , yang soleh/solehah , agar dapat melahirkan zuriat keturunan yang soleh&solehah juga , dan dapat menjadi sebuah keluarga yang sentiasa diberkati , diredhai , dan sentiasa dibawah limpahan rahmat dan kurnia Allah s.w.t . In shaa Allah . :)-

(sumber daripada artikel IluvIslam)

Isnin, 15 Julai 2013

Sebelum Bersatu ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Cemburu itu bukan hakku sebelum dirimu halal untukku .

Kalau menuruti kata nafsu , kuingin selalu bersamamu .

Kalau menuruti kesenangan sesaatku , ku tak pernah ingin jauh darimu .

Kalau menuruti apa kata egoku , ku tak ingin kau mengenal WANITA lain selain diriku .

Namun IMAN , AKAL dan HATIKU berkata lain .

Dirimu masih orang asing bagiku . Tidak halal bagiku .

Tak berhak diriku berharap yang lebih apalagi cemburu buta .

Sungguh diriku belum berhak untuk itu . Sebelum ada ijab qabul diantara kita .

Diriku dan dirimu berhak untuk menentukan pilihan .

Namun , hanya satu pintaku ...

Setialah kepada Allah dengan selalu bermunajat kepada-Nya agar Allah jodohkan yang terbaik untuk kita .

Dan seandainya diriku yang ditakdirkan Allah untuk mendampingimu ...

Allah akan mempermudahkan jalannya . Walau sejauh mana jarak diantara kita , walau belum pernah bersua muka , walau belum pernah bertegur sapa , walau sehebat mana rintangan yang datang melanda ...

Kerana hanya Allah yang mampu untuk menggerakkan hati kita atau membolak-balikkan hati kita .

Sesungguhnya kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan segalanya .

Sesuatu perkara itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah .

-apabila Allah menginginkan dua hati bertemu , Allah akan menggerakkan keduanya , tidak hanya salah satu . Dan sekiranya dua hati mengingati Yang Satu , maka mudahlah bagi mereka untuk bersatu-

Rabu, 10 Julai 2013

Ramadhan Tiba Lagi ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah , syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi peluang bertemu dengan bulan Ramadhan kali ini . Entri pada kali ini , saya ingin kongsikan tentang Ramadhan , sumber daripada artikel IluvIslam .

Ramadan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabila tibanya Ramadan maka menjadi kewajiban bagi umat Islam berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari.

Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa, serta kelebihan dan fadhilat bulan Ramadan.


Mengapa perlu berpuasa ?


Kenapa umat Islam perlu berpuasa setiap kali tibanya Ramadan? Persoalan ini selalunya bermain di minda kita. Lebih-lebih lagi ketika umur masih di peringkat kanak-kanak. Banyak persoalan tentang puasa terkumpul di minda. Jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa  islam tidak pula boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu di mana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.


Sesungguhnya Islam itu agama yang cukup sempurna. Tiada kurangnya walau sedikitpun. Segala persoalan tentang ibadah, muamalat, kehidupan semuanya terjawab di dalam buku panduan pertama, kitab Al-quran yang mulia. Allah SWT telah berfirman: -


(Surah Al-Baqarah , ayat 183)

Jelaslah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan umat islam berpuasa dengan menujukan ayat tersebut khusus kepada orang-orang yang beriman. Maka, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat islam, yang menyakini Allah sebagai Ilah dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya. Dengan berpuasa, bererti kita telah menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, yang mana salah satu dari rukun Islam itu sendiri adalah dengan menunaikan puasa di bulan Ramadan.

Sesungguhnya puasa ini telah difardhukan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Ianya telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Ini dijelaskan di dalam Al-Quran sepertimana yang terkandung di dalam ayat di atas.  Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa dan Nabi Isa sepertimana yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubiy di dalam kitabnya[i]

Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan orang yang mula-mula berpuasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.

Manakala menurut tafsiran Al-Qurtubiy sepertimana di dalam kitabnya mentafsirkan ayat ini adalah pensyari’atan puasa selama sebulan kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa ‘Alahumassalam. Tetapi  umat para nabi tersebut iaitu Bani Israel telah mengubah dengan menambah sepuluh hari, kemudian mereka menambahnya lagi selama sepuluh hari sebagai tanda membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit. Maka menjadilah puasa orang-orang Nasrani kepada lima puluh hari.

Selain itu, ianya juga telah dilakukan oleh Nabi Daud a.s sendiri di mana baginda menunaikan puasa dengan berselang-seli sepertimana diriwayatkan daripada Abdullah ibn ‘Amr r.a. katanya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa (Nabi) Daud dan solat yang paling Allah sukai ialah solat Daud (a.s). Beliau tidur pada separuh malam, berqiamullail pada sepertiga malam dan tidur (semula) pada seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (yang lain pula”.
(Hadis riwayat Muslim)

Puasa juga merupakan satu tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT agar menjadi seorang yang bertaqwa. Dengan berpuasa dapat melatih diri kita menjadi seorang yang sabar dalam menahan diri khususnya dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Justeru dengan meninggalkan kemungkaran diiringi dengan melakukan ibadah wajib dan menggandakan amalan-amalan sunat dapat meningkatkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Kelebihan Di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan diibaratkan sebuah madrasah. Didalamnya penuh dengan tarbiyah dan ibadah. Saat itulah seluruh umat Islam berlumba-lumba mendapatkan kelebihan yang ada padanya. Bahkan ada juga yang mengibaratkan bulan Ramadan umpama sebuah karnival. Karnival ibadah!

Di antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amal ibadat kepada-NYA. Padanya juga turunnya Al-quran serta terjadinya malam Lailatul Qadar dan dicatatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 10 terakhir di bulan Ramadan.

Firman Allah yang bermaksud :-

(Surah Al-Isra' , ayat 27)

Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan, “melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia” ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri. 

Ramadan Telah Tiba
Terasa keharuman Ramadan kali ini. Semoga peluang yang Allah berikan ini dapat akan digunakan sebaiknya.  Sama-sama kita renungi Ramadan yang lalu bagaimanakah persiapan kita? Adakah Ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?
 Jangan difikirkan apa yang hendak di makan saat berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan ibadah apa yang akan ditunaikan. Amalan apa yang akan digandakan? Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan, adakah bakal kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanyalah iman!
Sebagai hamba yang beriman, tanamkanlah azam agar kedatangan Ramadan kali ini lebih bermakna dari Ramadan sebelumnya. Lebih indah dari Ramadan yang lalu dan membawa momentum perubahan yang besar pada diri. Memberi natijah yang hasanah pada jiwa kita dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Mudah-mudahan ianya menjadi latihan transformasi dalam diri, serta tetap istiqamah dalam menghadapi mujahadatun nafs agar amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan Ramadan akan diteruskan pada  bulan-bulan yang lain. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja. 
“Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat islam di seluruh dunia, dan tidak dilupa kepada ibu dan ayah serta keluarga yang sentiasa dicintai. Juga tak dilupakan kepada rakan-rakan dan kenalan-kenalan. Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang membawa transformasi di dalam diri ini. In shaa Allah! Mohon ampun dan maaf “

Ahad, 7 Julai 2013

Nabi Nuh a.s ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah . Entri seterusnya ini , saya teruskan dengan kisah Nabi Nuh pula iaitu Nabi selepas Nabi Idris .

Nabi Nuh adalah seorang lelaki yang soleh . Baginda memiliki peribadi yang mulia . Allah telah memilih baginda untuk menyampaikan risalah-Nya . Allah telah berfirman kepadanya , "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya"

Nabi Nuh memang dikenali oleh kaumnya . Setelah baginda menerima perintah Allah s.w.t ini , baginda pun pergi menemui kaumnya .

"Aku ini adalah rasul yang amanah yang diutuskan oleh Allah kepada kamu" kata Nabi Nuh .

Orang ramai yang berada di tempat tersebut terus berdiri dan melihat baginda dengan wajah yang kehairanan .

"Bilakah orang ini menjadi rasul ? Semalam dia seorang laki-laki biasa dari kalangan kita , kini dia mengaku dia sebagai utusan Allah!" kata mereka .

"Dia selalu bermain-main bersama kami semasa kecil . Bila pula dia diangkat menjadi rasul ?" kata salah seorang kawan Nabi Nuh pula .

"Mengapakah dia yang dipilih oleh Allah . Apakah sudah tidak ada orang lain lagi di dunia ini ?" kata orang-orang kaya dan para pembesar negara .

"Orang ini bukan Nabi . Dia hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu juga . Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dari kalangan datuk nenek kami yang telah lalu" kata orang-orang jahil pula .

"Sebenarnya Nabi Nuh ingin menjadi ketua dan inginkan pangkat kemuliaan dengan cara ini" kata pembesar-pembesar yang kafir itu lagi .

Orang-orang kafir menyangka bahawa menyembah berhala adalah ibadat yang sebenarnya . Mereka menganggap orang yang tidak menyembah berhala sebagai orang sesat dan bodoh .

"Datuk nenek kami telah menyembah berhala ini . Mengapa pula orang ini tidak menyembahnya ?" kata mereka .

Nabi Nuh sedar bahawa menyembah berhala adalah perbuatan yang bodoh dan sesat . Beliau tahu bahawa kaumnya dan nenek moyang mereka dahulu jahil dan sesat .

"Wahai kaumku ! Sembahlah Allah . Sebenarnya tiada Tuhan selain Allah . Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa pada Hari Kiamat ." tegas Nabi Nuh dengan lantang .

"Sesungguhnya kami menganggap kamu berada dalam kesesatan yang nyata" kata para pembesar kaumnya lagi .

"Wahai kaumku ! Aku bukanlah sesat , tetapi aku sebenarnya utusan daripada Tuhan yang mentadbir alam semesta ini . Aku akan menyampaikan perutusan Tuhanku dan memberi nasihat serta peringatan kepada kamu . Aku mengetahui perkara yang kamu tidak tahu melalui wahyu daripada Alah s.w.t" Nabi Nuh cuba menjelaskan kepada kaumnya .

Nabi Nuh berusaha bersungguh-sungguh menyeru kaumnya beriman kepada Allah , menyembah-Nya dan meninggalkan penyembahan berhala . Hanya beberapa orang sahaja yang mahu beriman dengannya . Mereka ini terdiri daripada beberapa orang miskin yang bekerja dengan titik peluh mereka sendiri dan memakan makanan yang halal .

Orang-orang kaya di kalangan kaumnya enggan mentaati Nabi Nuh disebabkan kesombongan mereka . Harta kekayaan dan anak pinak telah melalaikan dan membuat mereka merasakan hidup ini hanyalah di dunia ini sahaja .

"Kami adalah orang yang berpangkat mulia , sedangkan mereka golongan rendah dan hina" kata orang-orang kaya itu .

Apabila Nabi Nuh menyeru dan berdakwah kepada mereka supaya kembali kepada Allah , mereka membuat berbagai dalih .

"Patutkah kami beriman dengan kamu sedangkan yang mengikut kamu cuma orang yang miskin dan hina pekerjaannya ?"

Mereka meminta Nabi Nuh menghalau golongan yang miskin itu . Tetapi Nabi Nuh enggan berbuat demikian .

"Aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman daripada bercampur gaul denganku . Pintu rumahku bukan seperti pintu istana raja . Aku ini hanyalah rasul , pemberi amaran yang jelas dan nyata kepada semua manusia , tidak kira hina atau mulia" katanya .

Nabi Nuh sedar bahawa golongan yang miskin itulah golongan yang benar-benar beriman lagi ikhlas hatinya . Menghalau golongan miskin merupakan perbuatan dimurkai Allah . Sekiranya beliau berbuat begitu pasti tidak ada seorang pun yang akan menolongnya .

"Wahai kaumku ! Siapakah yang  akan melindungiku daripada kemurkaan Allah jika aku menghalau mereka ?" katanya lagi .

"Seruan Nuh ini tidak benar dan tidak baik" kata golongan yang kaya .

"Kenapa ?" tanya Nabi Nuh .

"Kerana selama ini kamilah yang mula-mula sekali mencapai apa jua kebaikan . Kami mempunyai makanan yang paling baik dan pakaian yang paling cantik . Semua manusia meniru kami dalam setiap urusan . Kami menganggap bahawa kebaikan tidak akan luput dan meninggalkan kami . Oleh itu kalau agama Nuh ini benar , kami yang memperolehnya sebelum golongan miskin itu . Kalaulah agama ini baik , tentulah kami yang mempercayainya terlebih dulu kerana kamilah yang sepatutnya mula-mula sekali menerima segala kebaikan" kata mereka dengan sombong sekali .

"Wahai kaumku ! Sesungguhnya aku diutuskan kepada kamu untuk memberi peringatan dan amaran yang nyata . Sembahlah Allah dan bertakwalah kepada-Nya , serta taatlah kamu kepadaku . Dengan itu , Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan kamu akan dihindarkan daripada azab hingga suatu masa tertentu . Sesungguhnya ajal yang telah ditetapkan oleh Allah itu tidak dapat ditangguhkan walau sesaat pun . Sekiranya kamu tahu hakikat ini , tentulah kamu akan segera beriman" Nabi Nuh menyeru kaumnya bersungguh-sungguh .

Disebabkan kekufuran mereka , Allah telah menahan air hujan daripada turun ke bumi . Allah murka terhadap mereka . Hasil tanaman dan zuriat keturunan mereka pun berkurangan .

"Wahai kaumku ! Sekiranya kamu beriman , nescaya Allah akan meredhai kamu dan menghilangkan penderitaan kamu . Allah akan menurunkan hujan dan memberkati rezeki serta keturunan kamu" Nabi Nuh terus berdakwah .

"Tidakkah kamu mengenal Allah ? Apa yang ada di sekeliling kamu menunjukkan tanda-tanda kewujudan dan kekuasaan Allah . Tidakkah kamu melihatnya ? Tidakkah kamu melihat langit dan bumi , matahari serta bulan ? Siapakah yang telah menjadikan langit ? Siapakah yang telah menjadikan bulan bercahaya dan matahari bagai lampu yang bersinar ? Siapakah yang telah menjadikan bumi terbentang luas bagai hamparan untuk kamu ?

Malangnya kaum Nabi Nuh masih tidak mahu mengerti . Mereka tidak mahu beriman . Bahkan apabila Nabi Nuh menyeru mereka , mereka menutup telinga dengan jari-jari mereka .

Bagaimana hendak memahamkan orang yang tidak mahu mendengar ? Bagaimana hendak memberitahu orang yang sengaja tidak mahu mendengar ?

Nabi Nuh tetap tekun menjalankan dakwahnya selama beratus-ratus tahun . Beliau hidup selama 950 tahun . Walaupun beliau berdakwah kepada kaumnya dalam masa yang panjang , namun kaumnya tetap tidak mahu beriman .

Mereka terus menyembah berhala . Mereka tidak bertaubat kepada Allah . Sampai bila Nabi Nuh harus menunggu , sedangkan kaumnya masih melakukan kemungkaran di atas muka bumi ? Selama manakah beliau harus bertahan melihat berhala disembah ? Mereka memakan rezeki Allah tetapi menyembah tuhan yang lain .

Baginda telah bersabar denga kesabaran yang tidak terdaya oleh sesiapa pun ! 950 tahun ! Kemudian Allah berfirman kepadanya "Sesungguhnya kaummu tidak akan beriman lagi kecuali mereka yang telah pun beriman sebelum ini ."

Nabi Nuh cuba menyeru kepada kaumnya sekali lagi , tetapi baginda tetap mendapat tentangan daipada kaumnya .

"Wahai Nuh ! Sesungguhnya engkau telah banyak membantah kami dan kamu telah banyak berdebat dengan kami . Oleh itu lebih baik engkau datangkan azab Allah yang telah engkau janjikan kepada kami , jika sekiranya engkau orang yang benar" cabar kaumnya .

Nabi Nuh sangat marah mendengar keangkuhan mereka itu dan baginda tidak mengharap mereka akan berubah menjadi baik lagi .

"Ya Allah ! Janganlah Engkau biarkan orang kafirr itu hidup di atas muka bumi ini , walau seorang pun !" doa Nabi Nuh .

Allah s.w.t telah memperkenankan doa Nabi Nuh itu dan  memerintahkan baginda membina sebuah kapal yang besar . Nabi Nuh pun mula membina kapal tersebut .

Kaum Nabi Nuh yang kafir melihat beliau sibuk membina kapal itu . Mereka pun mengambil peluang untuk menyindir dan memperolokkannya .

"Apakah ini , wahai Nuh ? Bilakah engkau menjadi tukang kayu ? Bukankah kami telah berkata kepada engkau , jangan bercampur gaul dengan golongan yang hina itu , tetapi engkau enggan mendengar nasihat kami . Engkau terus bergaul dengan tukang-tukang kayu dan besi sehingga engkau juga menjadi seperti mereka !" ejek kaum Nabi Nuh .

"Di manakah kapal ini akan belayar , wahai Nuh ? Perbuatan engkau ini sungguh menghairankan . Adakah kapal ini hendak belayar di atas pasir atau naik ke atas bukit ? Lautan sangat jauh dari sini . Adakah jin akan memikulnya atau adakah kerbau akan menariknya ?

Nabi Nuh mendengar semua sindiran dan ejekan mereka itu dengan sabar . Baginda juga telah melalui berbagai peristiwa yang lebih teuk daripada itu namun baginda tetap bersabar . Kadang-kadang baginda membalas ejekan mereka dengan berkata "Jika kamu memperolokkan aku , maka aku juga akan memperolokkan kamu"

Setelah siap kapal yang dibina oleh Nabi Nuh dan orang-orang yang beriman , Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Nuh :

"Muatkanlah ke dalam bahtera itu sepasang binatang daripada setiap jenis keluargamu kecuali orang yang telah ada ketetapan terhadapnya , dan muatkanlah pula orang-orang yang beriman"

Nabi Nuh menurut perintah Allah s.w.t . Bersama baginda di dalam bahtera tersebut ialah orang-orang yang beriman daripada kaumnya . Di dalamnya juga terdapat satu pasangan daripada setiap jenis haiwan dan burung .

Setelah Nabi Nuh bersedia , Allah s.w.t memerintahkan langit untuk menurunkan hujan dan angin pula bertiup dengan kencang . Air daripada bumi keluar dan memenuhi kawasan tersebut dan akhirnya menjadi seperti lautan yang luas . Yang kelihatan hanyalah puncak-puncak bukit dan gunung . Orang-orang kafir yang kuat memanjat tempat tersebut dengan harapan mereka tidak akan tenggelam . Sementara yang lemah semuanya mati lemas . Bahtera pun belayar di tengah-tengah lautan . Semasa belayar , bahtera tersebut sentiasa dipukul ombak yang besar .

Di dalam keadaan yang kelam kabut itu , Nabi Nuh ternampak anaknya  sedang berdiri di salah satu puncak bukit .

"Wahai anakku , marilah naik kapal ini bersamaku dan janganlah engkau mengikut orang-orang kafir itu!" jerit Nabi Nuh kepada anaknya .

"Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang akan menyelamatkan aku daripada banjir ini" jawab anaknya .

"Pada hari ini tidak ada lagi tempat berlindung daripada bencana Allah kecuali orang yang disayangi-Nya" kata Nabi Nuh lagi .

Tiba-tiba datang ombak besar . Ombak itu memisahkan Nabi Nuh dan anaknya yang derhaka itu . Akhirnya anak yang derhaka itu mati lemas .

Nabi Nuh sangat sedih mengenangkan nasib malang anaknya dan orang-orang kafir . Orang kafir tidak termasuk dalam ahli keluarga seorang nabi walaupun dia anaknya sendiri . Allah s.w.t mengingatkan Nabi Nuh tentang perkara itu dengan berfirman :

"Wahai Nuh , sesungguhnya dia bukan daripada ahli keluarga engkau . Perbuatannya tidak baik . Oleh itu janganlah kamu minta kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak tahu . Aku memberi peringatan kepada kamu agar kamu tidak menjadi orang yang tidak berpengetahuan"

Nabi Nuh menerima peringatan Allah lalu terus bertaubat kepada-Nya . "Wahai Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada meminta sesuatu yang aku tidak tahu . Jika Engkau tidak mengampuni dan mengasihaniku , tentu aku jadi orang yang rugi" Nabi Nuh berdoa kepada Allah .

Apabila kehendak Allah telah terlaksana dan orang-orang kafir telah ditenggelamkan , hujan pun berhenti . Langit menjadi cerah semula dan banjir pun surut . Bahtera Nabi Nuh tersadai di atas sebuah gunung bernama Judi .

Allah s.w.t berfirman "Binasalah orang-orang zalim !"

Kemudian Allah s.w.t memerintahkan Nabi Nuh "Turunlah ke darat dengan selamat" .

Nabi Nuh dan seluruh penghuni bahtera pun turun dan berjalan di atas bumi dengan keadaan selamat . Allah memberkati keturunan Nabi Nuh . Mereka tinggal di merata-rata tempat di bumi ini . Terdapat banyak bangsa dan para raja serta para nabi daripada kalangan mereka . Selamat sejahtera kepada Nabi Nuh serta penghuni alam ini .

Sekian sahaja perkongsian mengenai kisah Nabi Nuh . Semoga bermanfaat :)

Wallahu'alam ~