Assalamualaikum ..

Assalamualaikum :)

Rabu, 16 Oktober 2013

Kebahagiaan Dalam Pencarian ~

Bismillah . Assalamualaikum .

setiap orang pasti pernah jatuh cinta. Namun bagi yang menjaga iman dan diri, pasti dipendamkan dahulu, cuba berusaha dengan cara yang betul untuk meraih cinta tersebut. Berusaha untuk tidak mencemari diri dari melakukan perkara-perkara yang mampu mencalarkan maruah diri dan sebagainya.
Jangan jadi manusia terhegeh-hegeh dan terlalu menguja.
Wanita fitrahnya adalah seperti daun semalu, yang berduri dan bila disentuh tertutup malu. Seperti bunga mawar yang indah namun penuh berduri tajam. Jangan dihilangkan fitrah itu, kerana cinta anda sanggup mengejar sesuatu yang pasti bukan kepunyaan anda.
Seringkali kerisauan mengenai jodoh menjadi pendorong kepada berlakunya ikatan kemanusiaan jantina yang berbeza yang tiada nilai di sisi agama - bercouple tanpa sah!
Atas alasan takut diri tidak laku, maka jika sesiapa lelaki yang menghulur cinta maka terus diterima tanpa berfikir dengan akal yang waras. Maka ketetapan Allah mengenai jodoh tidak dipeduli kerana kerisauan yang sering menghantui diri.
Sudah dibilang pelihara diri anda, maka peliharalah kerana itu bukan sesuatu yang merugikan. Namun, jika diri sudah terperangkap dengan mainan emosi kerisauan ini, segeralah bermuhasabah.
Ya, benar.. saya akui, jodoh tidak akan bergolek, ia perlu dicari. Namun, pencarian anda itu bagaimana caranya? Adakah mengikut syariat atau tidak? Adakah anda yakin pacar anda sekarang pasti meminang anda atau tidak?
Dan akhirnya pasti kalian menjawab, "terserah pada Allah, moga inilah jodohku.."
Nah, akhirnya anda sendiri akur untuk berserah juga akhirnya, tetapi berserah setelah mengikut pencarian yang salah, anda sendiri mampu menafsir apa yang berlaku seterusnya.
Saya tidak menafikan juga bahawa kebahagiaan itu tidak mampu dinilai. Tapi sedarlah wahai sekalian sahabatku, kita sering bermimpi indah selepas perkahwinan, punya anak-anak yang soleh dan sebagainya, tapi hakikatnya kita masih kabur dalam menilai erti perkahwinan itu sendiri.
Seharusnya perkahwinan ini mampu menghasilkan generasi Islam yang lebih mantap, bukan pewaris kepada dosa-dosa yang kalian sudah lakukan sebelumnya.
Tuntasnya, saya mahu mengingat kepada diri serta sahabat sekalian bahawa carilah jodoh anda dengan cara yang paling diredhai oleh Allah.
Berpacaran bukanlah jalan terbaik untuk mengatasi masalah kerisauan anda tentang jodoh. Jika indah akhlak kalian, menjaga peribadi anda, jodoh itu sendiri datang kepada kalian tanpa disedari.
Mahu pasangan yang soleh dan solehah? Andalah yang perlu menjadi soleh atau solehah dulu...
Mintalah kepada-Nya, kerana hanya Dia  yang Maha Mengetahui jodoh terbaik untuk kalian.
Apa yang perlu kalian lakukan sekarang bukanlah menjalin hubungan mesra dengan pacaran tetapi jalinlah hubungan mesra dengan Yang Maha Memiliki!
Jangan sekadar mohon jodoh, namun mohonlah juga keturunan yang baik kerana itu bisa menjadi penyejuk mata dan hatimu.
-copypaste-

Sabtu, 17 Ogos 2013

Suasana di Bulan Syawal :) ~

Bismillah . Assalamualaikum . 

Maaf dipinta kerana sudah lama tidak meng-update blog ini . Sejak kebelakangan ini , saya agak sedikit sibuk dengan urusan2 . Alhamdulillah , pagi ini , saya diberi kesempatan waktu untuk meng-update . Walaupun terpaksa mencuri sedikit waktu . (kali ni update pakai handphone je . Sambil dukung baby)

Pertama sekali , rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri , Maaf Zahir & Batin kepada semua yang mengenali saya , tidak kiralah samada pernah bertentang mata bersua muka atau sekadar kenal di alam maya sahaja . Saya memohon ampun dan maaf kepada anda semua sekiranya ada salah silap yang saya lakukan sehingga mengguris rasa hati . Saya hanya manusia biasa yang takkan terlepas dari membuat kesalahan dan dosa . Maafkan saya .

Seterusnya , saya ingin berkongsi tentang perjalanan aktiviti saya sejak dari permulaan syawal sehinggalah ke hari ini . Seperti biasa , persediaan ingin menyambut syawal hanya biasa2 dan sederhana sahaja . Tiada yang berbeza berbanding sambutan syawal sebelum ini . Tema keluarga saya pada tahun ini ialah warna merah dan biru . (Dah macam warna Johor kan ? Luaskan Kuasamu . Hehee) . Pada tahun ini , saya dan keluarga pulang beraya di kampung halaman ayah iaitu di Kota Tinggi , Johor . Kami bertolak pulang ke sana pada pagi raya selepas selesai solat sunat Aidilfitri . Sebelum bertolak , saya sekeluarga sempat juga bergambar bersama-sama sebagai kenang-kenangan di Aidilfitri tahun ini . Memandangkan pada hari raya pertama kedai atau restoran kebanyakannya tidak dibuka , jadi saya telah menyiapkan bekalan untuk kami sekeluarga sekiranya lapar ketika dalam perjalanan pulang ke kampung . Saya dan keluarga berhenti rehat seketika sambil menjamu selera makanan yang dibawa ketika di Mersing . Boleh dikatakan kami berkelah di hari raya kerana ayah berhenti rehat di kawasan tepi laut . Sungguh nyaman disitu , ditambah pula dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa . Setelah selesai menjamu selera & bergambar di tepi laut , kami menyambung perjalanan . Alhamdulillah , lebih kurang pada jam 3 petang , saya dan keluarga selamat tiba di kampung halaman . Kami sekeluarga pulang beraya di kampung selama 3 hari sahaja memandangkan pada hari raya ke-empat abang terpaksa pulang ke tempat belajarnya . Meskipun hanya 3 hari sahaja , tetapi Alhamdulillah kami sempat menziarahi semua sanak saudara yang berada di Johor . (cuma rumah En. Nadzri je tak berpeluang nak pergi . Tak kenal rumah + takut pengsan pulak bila jumpa beliau . Haha) . In shaa Allah , 23hb ni saya dan keluarga akan pulang lagi ke Johor atas jemputan kenduri kahwin saudara mara .

Kelmarin , 16 Ogos , saudara mara saya dari Terengganu datang ke rumah . Lebih kurang 5 buah keluarga datang dan menginap disini . Memandangkan ramai berkumpul , ibu telah menyediakan beberapa hidangan . Antaranya ialah lontong + sambal bilis , rendang daging , nasi arab + gulai ayam kampung , ketupat palas dan ketupat nasi . Riuh jadinya dengan gelak tawa sepupu-sepupu yang bermain-main sesama mereka . Alhamdulillah , gembira rasa apabila dapat berkumpul ramai-ramai sebegini . Hari ini , selesai sahaja sarapan pagi , ayah mengajak mereka pergi bermandi kolam . Bukan main teruja lagi mereka . 

Dikesempatan ini juga , saya ingin mengucapkan tahniah kepada Mohd Nadzri atau lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu diatas kemenangan beliau semalam di Anugerah Lawak Warna bagi kategori Artis Lelaki Komedi Popular . Walaupun saya tidak dapat menyaksikan sendiri siaran langsung semalam , namun apabila mendapat makluman tentang kemenangan anda , saya cukup terharu dan gembira mendengarnya . Alhamdulillah , rezeki dari Allah untuk anda diatas usaha anda selama ini . Tahniah diucapkan . Semoga anda terus berjaya .

Akhir kata , sekali lagi saya ingin memohon keampunan jika ada salah dan silap yang saya lakukan . Semoga anda semua sentiasa diberkati , diredhai dan sentiasa berada dibawah lindungan rahmat Allah swt . In shaa Allah .

-tiada yang lebih menggembirakan dan membahagiakan ibu bapa melainkan anak yang soleh/solehah yang dapat membawa mereka ke syurga-

Selasa, 30 Julai 2013

Engkau Inginkan Redha Allah , Tapi ... ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Duhai diri yang disayangi , ada sedikit pesanan buatmu .

Kau kata , kau nak cari redha Allah .

Betulkah ?
Betulkah kau nak cari redha Allah ?

Kalau betul , kenapa kau tidak serius ?
Kenapa kau masih bermalas-malasan ?
Kenapa kau tangguh-tangguh kebaikan ?
Kenapa kau melayan sesuatu yang merosakkan ?
Kenapa kau masih tidak bersungguh-sungguh ?

Kenapa ? Kenapa dengan dirimu ?

Tanyalah kembali hatimu , wahai diri .
Betulkah kau mahu redha Allah ?
Betulkah kau mahu cinta kasih-Nya ?

Sekiranya betul , tunjukkanlah bahawa kau betul-betul mahu .
Jangan sekadar 'mahu' yang keluar di bibir .
Hanya cakap-cakap biasa .

Tapi buktikanlah 'mahu' itu dengan usaha .
Buktikan dengan tindakan .
Kau betul-betul mahu , bukan ? Maka buktikanlah .

Buktikan pada siapa ?

Buktikan pada Allah 'Azza Wa Jalla .
Buktikan kesungguhanmu dalam menagih kasih-Nya .
Biar Allah sendiri menyaksikan bahawa kau benar-benar mahukan redha-Nya .

Bila ?

Bermula pada detik ini , saat ini . Jangan ditangguh-tangguhkan lagi .

Sudah berlalu masa yang panjang dalam kehidupanmu .
Apakah ingin kau meneruskan hidup tanpa besungguh-sungguh mencari redha Allah ?

Cukup . Cukuplah masa lalu yang sia-sia itu .

"Inilah masanya !"

Hayatilah bagaimana Allah 'Azza Wa Jalla memujuk kita untuk serius dalam mencari redha-Nya .

Firman Allah swt :-
(Surah Al-Hadid , ayat 16)

Tidakkah dirimu memahaminya ?

Mengapa kau menangis ? Menyesali dirimu ?

Sudahlah .
Kesat air mata sesalmu dan mulakan langkahmu .
Bergeraklah mengatur dunia yang sementara ini .
Bergeraklah berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya .
Agar dirimu menuju Siratul Mustaqim .
Jalan lurus yang penuh duri dan rintangan .
Jalan lurus yang ditempuh sekalian kekasih-Nya .
Jalan lurus yang membawa ke Syurga-Nya .

Allah yang ingin kita cintai telah menetapkan bahawa itulah jalan yang mesti ditempuh oleh semua kekasih-Nya .

Firman Allah swt :-
(Surah Al-Baqarah , ayat 214)

Bergeraklah , dan teruskan bergerak . Biar dirimu menjadi khalifah yang serius mengabdikan diri kepada-Nya .
Hanya kepada-Nya .

Pada saat hatimu bersuara ;

"Aku hamba Allah yang mahu menjadi kekasih-Nya"

Maka buktikanlah .

"Ya Allah , tunjukkanlah aku jalan yang lurus itu . Berikanlah aku kekuatan dan petunjuk dalam mengusahaan kehidupanku kerana-Mu , agar pengakhiran hidupku beroleh rahmat dan keredhaan daripada-Mu . Tetapkanlah hatiku ini , Ya Allah" Aamiin Ya Rabbal 'Alaamiin .

-coretan untuk diri ini dan juga untuk semua yang membaca . Semoga bermanfaat . In shaa Allah-

Selasa, 23 Julai 2013

"Bila Nak Kahwin ?"

Bismillah . Assalamualaikum .

Apa khabar saudara/i ? Semoga saudara/i sentiasa diberkati dan berada didalam lindungan Allah s.w.t . Boleh dikatakan lebih kurang seminggu saya tidak menjengah blog ini ye . Maaf dipinta . Kebelakangan ini saya agak sibuk . Tambahan pula dengan ketiadaan idea untuk meng-update . tetapi Alhamdulillah , syukur ke hadrat Ilahi kerana hari ini , saya berpeluang untuk meng-update blog ini bagi berkongsi ilmu-ilmu yang bermanfaat . In shaa Allah . :)

Berbalik pada tajuk entri kali ini . "Bila Nak Kahwin ?"

Pada saat usia mencecah alam dewasa , pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu perkara yang amat mengusutkan fikiran kita . Soalan-soalan yang dilontarkan oleh insan sekeliling biarpun secara gurauan terasa sangat menyentap perasaan . Bila berseorangan , kita rasa kurang keyakinan , rasa serba kekurangan , malu dan tertekan .

Ketika berkumpul bersama kawan-kawan , ramai antara mereka yang sudah menimang cahaya mata , sedangkan kita hanya mampu memandang dan bermonolog dalam hati "bilakah waktunya aku akan mengalaminya juga ..." Hati rasa lebih tersentuh apabila ibu dan ayah kita memeluk dan mencium anak orang lain . Kita faham itu tandanya mereka sangat mendambakan cucu mereka sendiri .

Tapi itu semua kehendak Allah , bukan kehendak kita . Tiada siapapun didalam dunia ini mahu hidup berseorangan . Namun , kita harus akur dengan takdir Allah yang masih belum mengizinkan kita untuk bertemu jodoh . Kita harus berikhtiar , bersabar , dan jangan sesekali berputus asa . Kerana jodoh itu rahsia Allah . Bila , siapa , dimana , dan bagaimana , itu semua hanya Allah yang Maha Mengetahui .

Dalam menghadapi saat ini , usahlah diturutkan sangat dengan tekanan perasaan dek sindiran insan sekeliling . Tapi cubalah ikhtiar dan muhasabah diri kita . Adakah sudah cukup usaha dan ikhtiar kita dalam mencari jodoh ? Adakah kita pernah minta pada Allah supaya diringankan jodoh pada setiap kali sujud kepada-Nya ? Berapa kali kita bangun dan bersolat hajat pada malam hari memohon dipermudahkan jodoh ? Pernahkah kita solat sunat Dhuha , memohon limpahan rezeki berupa jodoh yang baik dan keluarga yang sakinah ? Berapa kali kita solat taubat memohon keampunan agar doa kita untuk mendapat jodoh tidak terhalang disebabkan dosa-dosa silam kita ? Dan cukupkah ikhtiar kita dengan solat istikharah agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan pilihan hanya kerana terdesak ?

Selain itu , cuba kita muhasabah diri kita . Adakah ikhtiar kita selama ini menepati syariat yang digariskan oleh Allah ? Adakah kita sudah menahan diri daripada bergaul bebas dengan mereka yang bukan mahram ? Adakah kita sudah menjaga diri daripada berhias berlebih-lebihan hanya untuk menarik perhatian kaum lelaki ? Seandainya sudah menepati syariat , tetapi masih gagal , redha dan yakinlah bahawa Allah telah merancang yang terbaik buat kita . Teruskan usaha dan bersabarlah .

Namun , disebalik ikhtiar dan kesabaran , kita juga harus mengkaji apakah hikmah ujian Allah terhadap kita yang lambat jodoh . Mungkin kita hanya memandang kelebihan orang yang cepat jodoh , dapat menjadi ibu dan bapa lebih awal dan dapat melaksanakan sunnah lebih awal . Tetapi sedarkah kita , yang lambat jodoh juga masih punya kelebihan ? Saat inilah masanya untuk kita berbakti kepada ibu bapa kita . Bila kita sudah berumah tangga , keadaan mungkin berbeza kerana terpaksa membahagi masa untuk keluarga sendiri dan juga untuk ibu bapa . Saat ini jugalah masanya untuk kita menimba ilmu sebanyak-banyaknya . Dalami ilmu agama , ilmu untuk menguruskan rumah tangga , dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar kita lebih bersedia apabila tiba saatnya nanti .

Akhir sekali , usahlah bersedih hati . Setiap yang berlaku ada hikmahnya . Jaga iman dan hati agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu . Bagi wanita , jaga maruah seorang wanita . Jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal yang masak ranum di puncak pohon , tapi akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya .

Sekian sahaja perkongsian saya untuk kali ini . Semoga bermanfaat . In shaa Allah . :)

-kepada insan yang masih belum bertemu jodoh , saya doakan semoga anda cepat bertemu jodoh dengan orang yang baik2 , yang soleh/solehah , agar dapat melahirkan zuriat keturunan yang soleh&solehah juga , dan dapat menjadi sebuah keluarga yang sentiasa diberkati , diredhai , dan sentiasa dibawah limpahan rahmat dan kurnia Allah s.w.t . In shaa Allah . :)-

(sumber daripada artikel IluvIslam)

Isnin, 15 Julai 2013

Sebelum Bersatu ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Cemburu itu bukan hakku sebelum dirimu halal untukku .

Kalau menuruti kata nafsu , kuingin selalu bersamamu .

Kalau menuruti kesenangan sesaatku , ku tak pernah ingin jauh darimu .

Kalau menuruti apa kata egoku , ku tak ingin kau mengenal WANITA lain selain diriku .

Namun IMAN , AKAL dan HATIKU berkata lain .

Dirimu masih orang asing bagiku . Tidak halal bagiku .

Tak berhak diriku berharap yang lebih apalagi cemburu buta .

Sungguh diriku belum berhak untuk itu . Sebelum ada ijab qabul diantara kita .

Diriku dan dirimu berhak untuk menentukan pilihan .

Namun , hanya satu pintaku ...

Setialah kepada Allah dengan selalu bermunajat kepada-Nya agar Allah jodohkan yang terbaik untuk kita .

Dan seandainya diriku yang ditakdirkan Allah untuk mendampingimu ...

Allah akan mempermudahkan jalannya . Walau sejauh mana jarak diantara kita , walau belum pernah bersua muka , walau belum pernah bertegur sapa , walau sehebat mana rintangan yang datang melanda ...

Kerana hanya Allah yang mampu untuk menggerakkan hati kita atau membolak-balikkan hati kita .

Sesungguhnya kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan segalanya .

Sesuatu perkara itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah .

-apabila Allah menginginkan dua hati bertemu , Allah akan menggerakkan keduanya , tidak hanya salah satu . Dan sekiranya dua hati mengingati Yang Satu , maka mudahlah bagi mereka untuk bersatu-

Rabu, 10 Julai 2013

Ramadhan Tiba Lagi ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah , syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi peluang bertemu dengan bulan Ramadhan kali ini . Entri pada kali ini , saya ingin kongsikan tentang Ramadhan , sumber daripada artikel IluvIslam .

Ramadan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabila tibanya Ramadan maka menjadi kewajiban bagi umat Islam berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari.

Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa, serta kelebihan dan fadhilat bulan Ramadan.


Mengapa perlu berpuasa ?


Kenapa umat Islam perlu berpuasa setiap kali tibanya Ramadan? Persoalan ini selalunya bermain di minda kita. Lebih-lebih lagi ketika umur masih di peringkat kanak-kanak. Banyak persoalan tentang puasa terkumpul di minda. Jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa  islam tidak pula boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu di mana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.


Sesungguhnya Islam itu agama yang cukup sempurna. Tiada kurangnya walau sedikitpun. Segala persoalan tentang ibadah, muamalat, kehidupan semuanya terjawab di dalam buku panduan pertama, kitab Al-quran yang mulia. Allah SWT telah berfirman: -


(Surah Al-Baqarah , ayat 183)

Jelaslah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan umat islam berpuasa dengan menujukan ayat tersebut khusus kepada orang-orang yang beriman. Maka, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat islam, yang menyakini Allah sebagai Ilah dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya. Dengan berpuasa, bererti kita telah menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, yang mana salah satu dari rukun Islam itu sendiri adalah dengan menunaikan puasa di bulan Ramadan.

Sesungguhnya puasa ini telah difardhukan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Ianya telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Ini dijelaskan di dalam Al-Quran sepertimana yang terkandung di dalam ayat di atas.  Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa dan Nabi Isa sepertimana yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubiy di dalam kitabnya[i]

Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan orang yang mula-mula berpuasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.

Manakala menurut tafsiran Al-Qurtubiy sepertimana di dalam kitabnya mentafsirkan ayat ini adalah pensyari’atan puasa selama sebulan kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa ‘Alahumassalam. Tetapi  umat para nabi tersebut iaitu Bani Israel telah mengubah dengan menambah sepuluh hari, kemudian mereka menambahnya lagi selama sepuluh hari sebagai tanda membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit. Maka menjadilah puasa orang-orang Nasrani kepada lima puluh hari.

Selain itu, ianya juga telah dilakukan oleh Nabi Daud a.s sendiri di mana baginda menunaikan puasa dengan berselang-seli sepertimana diriwayatkan daripada Abdullah ibn ‘Amr r.a. katanya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa (Nabi) Daud dan solat yang paling Allah sukai ialah solat Daud (a.s). Beliau tidur pada separuh malam, berqiamullail pada sepertiga malam dan tidur (semula) pada seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (yang lain pula”.
(Hadis riwayat Muslim)

Puasa juga merupakan satu tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT agar menjadi seorang yang bertaqwa. Dengan berpuasa dapat melatih diri kita menjadi seorang yang sabar dalam menahan diri khususnya dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Justeru dengan meninggalkan kemungkaran diiringi dengan melakukan ibadah wajib dan menggandakan amalan-amalan sunat dapat meningkatkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Kelebihan Di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan diibaratkan sebuah madrasah. Didalamnya penuh dengan tarbiyah dan ibadah. Saat itulah seluruh umat Islam berlumba-lumba mendapatkan kelebihan yang ada padanya. Bahkan ada juga yang mengibaratkan bulan Ramadan umpama sebuah karnival. Karnival ibadah!

Di antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amal ibadat kepada-NYA. Padanya juga turunnya Al-quran serta terjadinya malam Lailatul Qadar dan dicatatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 10 terakhir di bulan Ramadan.

Firman Allah yang bermaksud :-

(Surah Al-Isra' , ayat 27)

Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan, “melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia” ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri. 

Ramadan Telah Tiba
Terasa keharuman Ramadan kali ini. Semoga peluang yang Allah berikan ini dapat akan digunakan sebaiknya.  Sama-sama kita renungi Ramadan yang lalu bagaimanakah persiapan kita? Adakah Ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?
 Jangan difikirkan apa yang hendak di makan saat berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan ibadah apa yang akan ditunaikan. Amalan apa yang akan digandakan? Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan, adakah bakal kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanyalah iman!
Sebagai hamba yang beriman, tanamkanlah azam agar kedatangan Ramadan kali ini lebih bermakna dari Ramadan sebelumnya. Lebih indah dari Ramadan yang lalu dan membawa momentum perubahan yang besar pada diri. Memberi natijah yang hasanah pada jiwa kita dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Mudah-mudahan ianya menjadi latihan transformasi dalam diri, serta tetap istiqamah dalam menghadapi mujahadatun nafs agar amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan Ramadan akan diteruskan pada  bulan-bulan yang lain. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja. 
“Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat islam di seluruh dunia, dan tidak dilupa kepada ibu dan ayah serta keluarga yang sentiasa dicintai. Juga tak dilupakan kepada rakan-rakan dan kenalan-kenalan. Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang membawa transformasi di dalam diri ini. In shaa Allah! Mohon ampun dan maaf “

Ahad, 7 Julai 2013

Nabi Nuh a.s ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah . Entri seterusnya ini , saya teruskan dengan kisah Nabi Nuh pula iaitu Nabi selepas Nabi Idris .

Nabi Nuh adalah seorang lelaki yang soleh . Baginda memiliki peribadi yang mulia . Allah telah memilih baginda untuk menyampaikan risalah-Nya . Allah telah berfirman kepadanya , "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya"

Nabi Nuh memang dikenali oleh kaumnya . Setelah baginda menerima perintah Allah s.w.t ini , baginda pun pergi menemui kaumnya .

"Aku ini adalah rasul yang amanah yang diutuskan oleh Allah kepada kamu" kata Nabi Nuh .

Orang ramai yang berada di tempat tersebut terus berdiri dan melihat baginda dengan wajah yang kehairanan .

"Bilakah orang ini menjadi rasul ? Semalam dia seorang laki-laki biasa dari kalangan kita , kini dia mengaku dia sebagai utusan Allah!" kata mereka .

"Dia selalu bermain-main bersama kami semasa kecil . Bila pula dia diangkat menjadi rasul ?" kata salah seorang kawan Nabi Nuh pula .

"Mengapakah dia yang dipilih oleh Allah . Apakah sudah tidak ada orang lain lagi di dunia ini ?" kata orang-orang kaya dan para pembesar negara .

"Orang ini bukan Nabi . Dia hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu juga . Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dari kalangan datuk nenek kami yang telah lalu" kata orang-orang jahil pula .

"Sebenarnya Nabi Nuh ingin menjadi ketua dan inginkan pangkat kemuliaan dengan cara ini" kata pembesar-pembesar yang kafir itu lagi .

Orang-orang kafir menyangka bahawa menyembah berhala adalah ibadat yang sebenarnya . Mereka menganggap orang yang tidak menyembah berhala sebagai orang sesat dan bodoh .

"Datuk nenek kami telah menyembah berhala ini . Mengapa pula orang ini tidak menyembahnya ?" kata mereka .

Nabi Nuh sedar bahawa menyembah berhala adalah perbuatan yang bodoh dan sesat . Beliau tahu bahawa kaumnya dan nenek moyang mereka dahulu jahil dan sesat .

"Wahai kaumku ! Sembahlah Allah . Sebenarnya tiada Tuhan selain Allah . Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa pada Hari Kiamat ." tegas Nabi Nuh dengan lantang .

"Sesungguhnya kami menganggap kamu berada dalam kesesatan yang nyata" kata para pembesar kaumnya lagi .

"Wahai kaumku ! Aku bukanlah sesat , tetapi aku sebenarnya utusan daripada Tuhan yang mentadbir alam semesta ini . Aku akan menyampaikan perutusan Tuhanku dan memberi nasihat serta peringatan kepada kamu . Aku mengetahui perkara yang kamu tidak tahu melalui wahyu daripada Alah s.w.t" Nabi Nuh cuba menjelaskan kepada kaumnya .

Nabi Nuh berusaha bersungguh-sungguh menyeru kaumnya beriman kepada Allah , menyembah-Nya dan meninggalkan penyembahan berhala . Hanya beberapa orang sahaja yang mahu beriman dengannya . Mereka ini terdiri daripada beberapa orang miskin yang bekerja dengan titik peluh mereka sendiri dan memakan makanan yang halal .

Orang-orang kaya di kalangan kaumnya enggan mentaati Nabi Nuh disebabkan kesombongan mereka . Harta kekayaan dan anak pinak telah melalaikan dan membuat mereka merasakan hidup ini hanyalah di dunia ini sahaja .

"Kami adalah orang yang berpangkat mulia , sedangkan mereka golongan rendah dan hina" kata orang-orang kaya itu .

Apabila Nabi Nuh menyeru dan berdakwah kepada mereka supaya kembali kepada Allah , mereka membuat berbagai dalih .

"Patutkah kami beriman dengan kamu sedangkan yang mengikut kamu cuma orang yang miskin dan hina pekerjaannya ?"

Mereka meminta Nabi Nuh menghalau golongan yang miskin itu . Tetapi Nabi Nuh enggan berbuat demikian .

"Aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman daripada bercampur gaul denganku . Pintu rumahku bukan seperti pintu istana raja . Aku ini hanyalah rasul , pemberi amaran yang jelas dan nyata kepada semua manusia , tidak kira hina atau mulia" katanya .

Nabi Nuh sedar bahawa golongan yang miskin itulah golongan yang benar-benar beriman lagi ikhlas hatinya . Menghalau golongan miskin merupakan perbuatan dimurkai Allah . Sekiranya beliau berbuat begitu pasti tidak ada seorang pun yang akan menolongnya .

"Wahai kaumku ! Siapakah yang  akan melindungiku daripada kemurkaan Allah jika aku menghalau mereka ?" katanya lagi .

"Seruan Nuh ini tidak benar dan tidak baik" kata golongan yang kaya .

"Kenapa ?" tanya Nabi Nuh .

"Kerana selama ini kamilah yang mula-mula sekali mencapai apa jua kebaikan . Kami mempunyai makanan yang paling baik dan pakaian yang paling cantik . Semua manusia meniru kami dalam setiap urusan . Kami menganggap bahawa kebaikan tidak akan luput dan meninggalkan kami . Oleh itu kalau agama Nuh ini benar , kami yang memperolehnya sebelum golongan miskin itu . Kalaulah agama ini baik , tentulah kami yang mempercayainya terlebih dulu kerana kamilah yang sepatutnya mula-mula sekali menerima segala kebaikan" kata mereka dengan sombong sekali .

"Wahai kaumku ! Sesungguhnya aku diutuskan kepada kamu untuk memberi peringatan dan amaran yang nyata . Sembahlah Allah dan bertakwalah kepada-Nya , serta taatlah kamu kepadaku . Dengan itu , Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan kamu akan dihindarkan daripada azab hingga suatu masa tertentu . Sesungguhnya ajal yang telah ditetapkan oleh Allah itu tidak dapat ditangguhkan walau sesaat pun . Sekiranya kamu tahu hakikat ini , tentulah kamu akan segera beriman" Nabi Nuh menyeru kaumnya bersungguh-sungguh .

Disebabkan kekufuran mereka , Allah telah menahan air hujan daripada turun ke bumi . Allah murka terhadap mereka . Hasil tanaman dan zuriat keturunan mereka pun berkurangan .

"Wahai kaumku ! Sekiranya kamu beriman , nescaya Allah akan meredhai kamu dan menghilangkan penderitaan kamu . Allah akan menurunkan hujan dan memberkati rezeki serta keturunan kamu" Nabi Nuh terus berdakwah .

"Tidakkah kamu mengenal Allah ? Apa yang ada di sekeliling kamu menunjukkan tanda-tanda kewujudan dan kekuasaan Allah . Tidakkah kamu melihatnya ? Tidakkah kamu melihat langit dan bumi , matahari serta bulan ? Siapakah yang telah menjadikan langit ? Siapakah yang telah menjadikan bulan bercahaya dan matahari bagai lampu yang bersinar ? Siapakah yang telah menjadikan bumi terbentang luas bagai hamparan untuk kamu ?

Malangnya kaum Nabi Nuh masih tidak mahu mengerti . Mereka tidak mahu beriman . Bahkan apabila Nabi Nuh menyeru mereka , mereka menutup telinga dengan jari-jari mereka .

Bagaimana hendak memahamkan orang yang tidak mahu mendengar ? Bagaimana hendak memberitahu orang yang sengaja tidak mahu mendengar ?

Nabi Nuh tetap tekun menjalankan dakwahnya selama beratus-ratus tahun . Beliau hidup selama 950 tahun . Walaupun beliau berdakwah kepada kaumnya dalam masa yang panjang , namun kaumnya tetap tidak mahu beriman .

Mereka terus menyembah berhala . Mereka tidak bertaubat kepada Allah . Sampai bila Nabi Nuh harus menunggu , sedangkan kaumnya masih melakukan kemungkaran di atas muka bumi ? Selama manakah beliau harus bertahan melihat berhala disembah ? Mereka memakan rezeki Allah tetapi menyembah tuhan yang lain .

Baginda telah bersabar denga kesabaran yang tidak terdaya oleh sesiapa pun ! 950 tahun ! Kemudian Allah berfirman kepadanya "Sesungguhnya kaummu tidak akan beriman lagi kecuali mereka yang telah pun beriman sebelum ini ."

Nabi Nuh cuba menyeru kepada kaumnya sekali lagi , tetapi baginda tetap mendapat tentangan daipada kaumnya .

"Wahai Nuh ! Sesungguhnya engkau telah banyak membantah kami dan kamu telah banyak berdebat dengan kami . Oleh itu lebih baik engkau datangkan azab Allah yang telah engkau janjikan kepada kami , jika sekiranya engkau orang yang benar" cabar kaumnya .

Nabi Nuh sangat marah mendengar keangkuhan mereka itu dan baginda tidak mengharap mereka akan berubah menjadi baik lagi .

"Ya Allah ! Janganlah Engkau biarkan orang kafirr itu hidup di atas muka bumi ini , walau seorang pun !" doa Nabi Nuh .

Allah s.w.t telah memperkenankan doa Nabi Nuh itu dan  memerintahkan baginda membina sebuah kapal yang besar . Nabi Nuh pun mula membina kapal tersebut .

Kaum Nabi Nuh yang kafir melihat beliau sibuk membina kapal itu . Mereka pun mengambil peluang untuk menyindir dan memperolokkannya .

"Apakah ini , wahai Nuh ? Bilakah engkau menjadi tukang kayu ? Bukankah kami telah berkata kepada engkau , jangan bercampur gaul dengan golongan yang hina itu , tetapi engkau enggan mendengar nasihat kami . Engkau terus bergaul dengan tukang-tukang kayu dan besi sehingga engkau juga menjadi seperti mereka !" ejek kaum Nabi Nuh .

"Di manakah kapal ini akan belayar , wahai Nuh ? Perbuatan engkau ini sungguh menghairankan . Adakah kapal ini hendak belayar di atas pasir atau naik ke atas bukit ? Lautan sangat jauh dari sini . Adakah jin akan memikulnya atau adakah kerbau akan menariknya ?

Nabi Nuh mendengar semua sindiran dan ejekan mereka itu dengan sabar . Baginda juga telah melalui berbagai peristiwa yang lebih teuk daripada itu namun baginda tetap bersabar . Kadang-kadang baginda membalas ejekan mereka dengan berkata "Jika kamu memperolokkan aku , maka aku juga akan memperolokkan kamu"

Setelah siap kapal yang dibina oleh Nabi Nuh dan orang-orang yang beriman , Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Nuh :

"Muatkanlah ke dalam bahtera itu sepasang binatang daripada setiap jenis keluargamu kecuali orang yang telah ada ketetapan terhadapnya , dan muatkanlah pula orang-orang yang beriman"

Nabi Nuh menurut perintah Allah s.w.t . Bersama baginda di dalam bahtera tersebut ialah orang-orang yang beriman daripada kaumnya . Di dalamnya juga terdapat satu pasangan daripada setiap jenis haiwan dan burung .

Setelah Nabi Nuh bersedia , Allah s.w.t memerintahkan langit untuk menurunkan hujan dan angin pula bertiup dengan kencang . Air daripada bumi keluar dan memenuhi kawasan tersebut dan akhirnya menjadi seperti lautan yang luas . Yang kelihatan hanyalah puncak-puncak bukit dan gunung . Orang-orang kafir yang kuat memanjat tempat tersebut dengan harapan mereka tidak akan tenggelam . Sementara yang lemah semuanya mati lemas . Bahtera pun belayar di tengah-tengah lautan . Semasa belayar , bahtera tersebut sentiasa dipukul ombak yang besar .

Di dalam keadaan yang kelam kabut itu , Nabi Nuh ternampak anaknya  sedang berdiri di salah satu puncak bukit .

"Wahai anakku , marilah naik kapal ini bersamaku dan janganlah engkau mengikut orang-orang kafir itu!" jerit Nabi Nuh kepada anaknya .

"Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang akan menyelamatkan aku daripada banjir ini" jawab anaknya .

"Pada hari ini tidak ada lagi tempat berlindung daripada bencana Allah kecuali orang yang disayangi-Nya" kata Nabi Nuh lagi .

Tiba-tiba datang ombak besar . Ombak itu memisahkan Nabi Nuh dan anaknya yang derhaka itu . Akhirnya anak yang derhaka itu mati lemas .

Nabi Nuh sangat sedih mengenangkan nasib malang anaknya dan orang-orang kafir . Orang kafir tidak termasuk dalam ahli keluarga seorang nabi walaupun dia anaknya sendiri . Allah s.w.t mengingatkan Nabi Nuh tentang perkara itu dengan berfirman :

"Wahai Nuh , sesungguhnya dia bukan daripada ahli keluarga engkau . Perbuatannya tidak baik . Oleh itu janganlah kamu minta kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak tahu . Aku memberi peringatan kepada kamu agar kamu tidak menjadi orang yang tidak berpengetahuan"

Nabi Nuh menerima peringatan Allah lalu terus bertaubat kepada-Nya . "Wahai Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada meminta sesuatu yang aku tidak tahu . Jika Engkau tidak mengampuni dan mengasihaniku , tentu aku jadi orang yang rugi" Nabi Nuh berdoa kepada Allah .

Apabila kehendak Allah telah terlaksana dan orang-orang kafir telah ditenggelamkan , hujan pun berhenti . Langit menjadi cerah semula dan banjir pun surut . Bahtera Nabi Nuh tersadai di atas sebuah gunung bernama Judi .

Allah s.w.t berfirman "Binasalah orang-orang zalim !"

Kemudian Allah s.w.t memerintahkan Nabi Nuh "Turunlah ke darat dengan selamat" .

Nabi Nuh dan seluruh penghuni bahtera pun turun dan berjalan di atas bumi dengan keadaan selamat . Allah memberkati keturunan Nabi Nuh . Mereka tinggal di merata-rata tempat di bumi ini . Terdapat banyak bangsa dan para raja serta para nabi daripada kalangan mereka . Selamat sejahtera kepada Nabi Nuh serta penghuni alam ini .

Sekian sahaja perkongsian mengenai kisah Nabi Nuh . Semoga bermanfaat :)

Wallahu'alam ~

Nabi Idris a.s ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah , bertemu lagi di entri yang seterusnya . Entri kali ini , saya ingin mencoretkan kisah Nabi Idris pula . Nabi Idris ialah Nabi kedua iaitu selepas Nabi Adam . Kisah ini juga saya taip semula daripada buku 25 Rasul .

Nabi Idris adalah daripada keturunan anak Nabi Adam . Baginda banyak mempelajari ilmu agama dengan anak Nabi Adam yang bernama Syits semasa baginda masih kanak-kanak . Setelah dewasa , Allah s.w.t telah memilihnya untuk menyeru manusia yang telah sesat dan meninggalkan ajaran yang telah dibawa oleh Nabi Adam . Allah s.w.t telah menurunkan 30 sahifah kepada Nabi Idris yang mengandungi ajaran daripada-Nya untuk disampaikan kepada umatnya . Umatnya berasal daripada keturunan Qabil .

Baginda sangat berani dan gagah di dalam menjalankan tugas dakwah yang diamanahkan oleh Allah s.w.t kepadanya . Baginda digelar 'Asadul Usud' yang bermaksud 'Singa daripada segala singa' . Di antara ilmu-ilmu yang baginda miliki ialah menunggang kuda , ilmu bintang , berhitung , menggunting pakaian dan menjahit . Nabi Idris sangat disanjungi oleh Allah s.w.t seperti di dalam firman-Nya di dalam surah Al-Anbiya' ayat 85 :
(Surah Al-Anbiya' , ayat 85)

Sekian sahaja kisah Nabi Idris yang terdapat di dalam buku ini . In shaa Allah , jika ada lagi tambahan mengenai kisah Nabi Idris , saya akan masukkan di dalam entri ini .

Wallahu'alam ~

Sabtu, 6 Julai 2013

Nabi Adam a.s ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah , syukur ke hadrat Ilahi kerana saya masih berpeluang untuk meng-update blog ini bagi berkongsi cerita dan ilmu . Entri pada kali ini , saya ingin menceritakan kisah Nabi Adam a.s . Saya akan menaip semula kisah Nabi Adam a.s yang terdapat didalam buku 25 Rasul saya (buku zaman kanak-kanak dulu) .


Penciptaan langit dan bumi , manusia , binatang , dan seluruh alam ini adalah tanda-tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah s.w.t . Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 190 dan surah Al-Mulk ayat 19 .

(Surah Al-Mulk , ayat 19)

(Surah Ali-Imran , ayat 190)

Sebelum mencipta Nabi Adam , Allah s.w.t telah mencipta dua makhluk lain iaitu  malaikat dan jin . Malaikat dicipta daripada cahaya dan jin daripada api . Kehidupan malaikat tidak seperti manusia . Mereka tidak perlu makan , minum dan sebagainya seperti manusia . Hidup mereka hanya untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan menunaikan perintah-Nya tanpa bantahan sedikitpun .

Jin pula adalah makhluk yang memerlukan apa yang diperlukan oleh manusia tetapi mereka tidak boleh dilihat oleh manusia kecuali didalam keadaan-keadaan tertentu sahaja .

Nabi Adam adalah manusia yang pertama diciptakan daripada tanah oleh Allah s.w.t . Ketika Allah s.w.t. hendak mencipta Nabi Adam , para malaikat telah berkata : "Mengapakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah , padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan menyucikan Engkau ?"

"Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui" firman Allah s.w.t

Allah s.w.t mengajar Nabi Adam nama-nama benda . Kemudian Allah s.w.t berfirman kepada para malaikat : "Sebutlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar !"

"Maha Suci Engkau , tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" jawab para malaikat .

"Hai Adam , beritahulah kepada mereka nama-nama benda ini" firman Allah s.w.t . Nabi Adam pun memberitahu satu-persatu nama-nama benda yang diajarkan oleh Allah s.w.t tadi .

"Bukankah sudah Aku katakan kepadamu , bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan ?" firman Allah s.w.t lagi .

Allah s.w.t memerintahkan semua makhluk sujud kepada Nabi Adam sebagai tanda hormat kepadanya . Mereka pun sujud kecuali Iblis .

"Apakah yang menghalangimu untuk bersujud kepada Adam pada waktu Aku menyuruhmu ?" firman Allah kepada Iblis .

"Aku lebih baik daripadanya ; Engkau ciptakan aku daripada api , sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah" jawab Iblis dengan sombong .

"Turunlah kamu dari syurga itu ; kerana kamu tidak sepatutnya menyombong diri didalamnya . Keluarlah , sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina" perintah Allah s.w.t 

"Berilah aku kesempatan sampai waktu mereka dibangkitkan" kata Iblis kepada Allah s.w.t

"Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi kesempatan" firman Allah s.w.t

"Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat , aku benar-benar akan menghalangi mereka daripada jalan Engkau yang lurus , kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka , dari kanan dan kiri mereka . Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur" kata Iblis lagi .

"Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir . Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu , Aku akan mengisi mereka di dalam neraka Jahanam bersama-sama kamu semua" firman Allah s.w.t

Setelah mencipta Nabi Adam , Allah s.w.t telah mencipta isteri Nabi Adam yang bernama Hawa . Hawa telah dicipta daripada tulang rusuk Nabi Adam . Allah s.w.t telah berfirman kepada Nabi Adam :

"Hai Adam , tinggallah kamu dan isterimu di dalam syurga , serta makanlah olehmu berdua buah-buahan di mana saja yang kamu sukai , dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini . Sekiranya berlaku maka jadilah kamu berdua orang-orang yang zalim"

Nabi Adam dan isterinya Hawa tinggal di dalam syurga dengan penuh kemewahan dan kenikmatan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t . Tetapi syaitan yang sifatnya memang suka menghasut orang melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar amat benci melihat keadaan Nabi Adam dan isterinya yang hidup gembira . Syaitan pun merancang untuk menyesatkan Nabi Adam dan Hawa . Hari demi hari syaitan mengatur rancangannya sambil menyuruh Nabi Adam dan Hawa mendekati pohon yang dilarang Allah s.w.t itu dengan berkata,

"Tuhan kamu tidak melarangmu mendekati pohon ini , melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal di dalam syurga"

Pada suatu hari , Nabi Adam dan Hawa telah terpesona dengan bisikan syaitan sehinggalah mereka lupa akan perintah Allah s.w.t . Mereka memakan buah daripada pohon tersebut dan dengan serta merta nampaklah aurat mereka . Mereka pun segera menutupinya dengan daun-daun di dalam syurga .

Tiba-tiba kedengaran firman Allah s.w.t "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua mendekati pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu , sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua ?"

"Ya Tuhan kami , kami telah menganiaya diri kami sendiri , dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami , pastilah kami termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi" kata Nabi Adam .

"Turunlah kamu sekalian , sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain . Dan kamu mempunyai tempat tinggal dan tempat mencari rezeki di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan" firman Allah s.w.t

"Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati , dan di bumi itu pula kamu akan dibangkitkan" firman Allah s.w.t lagi

Nabi Adam dan Hawa pun diturunkan dari syurga ke bumi dimana mereka menempuh suatu kehidupan yang amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan syurga .

Setelah beberapa lama Nabi Adam dan Hawa tinggal di bumi , mereka telah dikurniakan dua pasang anak kembar . Setiap sepasang adalah lelaki dan perempuan . Seorang daripada anak lelaki itu dinamakan Qabil dan seorang lagi Habil . Setelah anak-anak mereka dewasa , tibalah masanya untuk mereka berkahwin . Menurut syariat Nabi Adam pada masa itu , tidak boleh dijodohkan saudara sekembar . Oleh itu , Qabil hendaklah dijodohkan dengan kembar Habil dan sebaliknya . Walaubagaimanapun , Qabil kurang bersetuju kerana kembar Habil kurang cantik .

Perkara ini telah diketahui oleh Nabi Adam . Baginda menyuruh Qabil dan Habil membuat korban untuk Allah s.w.t . Sesiapa yang diantara mereka yang diterima korbannya oleh Allah s.w.t , dialah yang berhak dijodohkan dengan kembar Qabil .Qabil dan Habil pun melaksanakan perintah ayah mereka . Allah s.w.t telah menerima korban Habil kerana beliau melakukannya ikhlas kerana-Nya .

Namun Qabil tetap tidak puas hati hingga beliau ingin membunuh Habil . Habil telah mengetahui niat jahat Qabil itu lalu beliau berkata kepada Qabil dengan cara yang sopan , "Sesungguhnya korban yang diterima oleh Allah adalah korban yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t . Kalau engkau mengangkat tangan untuk membunuhku , aku sekali-kali tidak akan mempunyai rasa iri hati untuk membunuhmu , kerana aku takut kepada Allah s.w.t .

Syaitan yang mengetahui niat jahat Qabil telah mengambil kesempatan ini untuk mempengaruhi Qabil dan akhirnya beliau membunuh Habil . Setelah itu Qabil menyesal dan beliau merasa bingung apa yang hendak dibuat dengan mayat Habil di hadapannya itu .

Tiba-tiba Allah s.w.t memperlihatkan kepada Qabil dua ekor burung gagak yang sedang berkelahi dan akhirnya salah seekor terbunuh . Burung gagak yang masih hidup itu menggali sebuah lubang . Kemudian ia menolak bangkai burung gagak yang mati tadi ke dalam lubang tersebut dan menimbusnya dengan tanah .

"Aduhai , celaka aku ! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini , lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini ?" kata Qabil didalam hatinya .

Qabil pun menguburkan mayat Habil , dan beliau menjadi pembunuh pertama di atas muka bumi ini . Nabi Adam dan Hawa seterusnya dikurniakan ramai lagi anak-anak kembar dan bermula dari situlah umat manusia berkembang biak hinggalah ke saat ini .

Sekian sahaja perkongsian kisah Nabi Adam . Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua . Bagi ibu bapa , bolehlah jadikan kisah ini sebagai 'bed time story' . Usah amalkan dengan menceritakan kisah-kisah dongeng kepada anak-anak . :)

Wallahu'alam ~

Aku Tanpa Cinta-Mu

Telah ku mungkiri janjiku lagi
Walau seribu kali
Ku ulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi
Apakah Kau terima cintaku lagi
Setelah ku berpaling
Dari pandangan-Mu
Yang kabur kerna jahilnya aku

Mengapa cinta-Mu tak pernah hadir
Subur dalam jiwaku
Agarku tetap bahagia
Tanpa cintaku tetaplah Kau disana
Aku tanpa cinta-Mu
Bagai layang-layang terputus talinya

Masihkah ada sekelumit belas
Mengemis kasih-Mu Tuhan
Untukku berpaut dan bersandar
Aku disini kan tetap terus mencuba
Untuk beroleh cinta-Mu
Walau ranjaunya menusuk pedih

-lirik bukan sekadar lagu-

Selasa, 2 Julai 2013

Harapanku ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah , syukur ke hadrat Ilahi kerana saya masih lagi diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini dan masih lagi dapat mencoretkan sedikit sebanyak cerita dan ilmu untuk dikongsi bersama . 

Pada tanggal 29 Jun yang lalu , genaplah 19 tahun usia saya . (muda lagi rasanya . haha . Tapi ajal dan maut tidak mengira usia) . Alhamdulillah , terima kasih kepada keluarga , saudara-mara , sahabat-sahabat , dan sesiapa sahaja yang telah mengucapkan selamat hari lahir kepada saya . Semoga kalian dirahmati Allah .

Memandangkan usia saya semakin meningkat , jadi , peratus untuk memperoleh hadiah hari lahir tu sangatlah sedikit . Tidak seperti zaman kanak-kanak dahulu . Meskipun begitu , saya sangat berterima kasih kepada sesiapa yang telah memberi ucapan selamat kepada saya . Bagi saya , itu sudah memadai kerana itu menandakan anda semua masih lagi mengingati hari kelahiran saya . Saya sangat menghargainya .

Tetapi , sebagai seorang manusia biasa , keinginan untuk memperoleh sesuatu (hadiah) tetap ada dalam diri saya .

Petang tadi , sedang duduk bersantai sambil menjenguk instagram , saya ternampak satu post ni .


Ya Allah , teringin sangat nak memiliki Al-Quran ini . Al-Quran pelangi yang mempunyai terjemahan , cover design seperti handbag , dan yang penting , berwarna merah . Warna kegemaran saya . Harganya sebanyak RM150 . Ya , mungkin murah bagi mereka yang berkerjaya , yang mempunyai pendapatan sendiri . Tetapi bagi seorang penganggur setia seperti saya ini , ianya adalah jumlah yang sangat besar .

Ada sesiapa yang bermurah hati ingin menghadiahkan saya Al-Quran ini ? Haha . Memang harapan jelaa kan . Kalau nak , usaha sendiri .

Memandangkan saya memang teringin sangat nak memiliki Al-Quran tersebut , jadi , saya harus mencari jalan untuk mengumpulkan duit . Saya bukanlah jenis yang suka meminta-minta kepada ibu bapa jika menginginkan sesuatu bagi memenuhi kehendak diri sendiri . Saya tidak ingin menyusahkan mereka . Saya telah diajar untuk berusaha sendiri jika mempunyai keinginan untuk memiliki sesuatu benda .

Jadi , saya telah membuat keputusan untuk menjalankan bisnes secara kecil-kecilan . Walaupun mungkin mengambil masa yang lama untuk mengumpul sebanyak RM150 itu , tetapi saya harap , berkat usaha saya ini , saya dapat memiliki Al-Quran itu . In shaa Allah (itupun kalau Al-Quran tersebut masih mempunyai stok . *sedih*)

Doakan saya berjaya . In shaa Allah .

-Jika dengan izin Allah , tiada yang mustahil . Yang penting , usaha , doa , dan tawakal-

Isnin, 24 Jun 2013

Dimanakah Letaknya Cinta Kita ? ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alhamdulillah . Syukur terhadap Allah . Hari ini saya berkelapangan untuk meng-update blog ini sebanyak 2 kali bagi berkongsi ilmu dengan saudara/i diluar sana .

Pada malam ini , saya akan berkongsi tentang satu topik yang tidak asing lagi bagi setiap manusia di muka bumi ini iaitu "CINTA" .

Setiap manusia yang diberikan peluang oleh Allah SWT untuk hidup di muka bumi ini pasti mempunyai perasaan cinta kerana manusia memang dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta . Tapi adakah perasaan cinta itu dikawal dengan baik ? Ayuh kita lihat .

Seorang ibu sanggup berkorban nyawa demi anaknya kerana cintanya dia kepada anaknya .

Seorang ayah sanggup berkorban tenaga dan harta kerana perasaan cintanya kepada keluarga .

Bagaimana pula dengan seorang anak ? Tidak ramai anak-anak pada masa kini yang sanggup berkorban masa , jiwa , harta dan tenaga untuk ibu bapa mereka . Walhal ibunya sanggup berkorban nyawa untuk melahirkan dia ke dunia , ayahnya sanggup berkorban tenaga , berpenat lelah untuk menampung makan pakai dan pembelajarannya . 

Anak-anak pada masa kini kebanyakkannya lebih mengutamakan pasangan kekasihnya . Kononnya sanggup merentasi lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya . Allahurabbi . 

Berbalik kepada tajuk utama .

Secara dasarnya , kita sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta . 

Itulah cinta . Ianya fitrah . Dan ianya juga boleh menjadi fitnah .

Cinta boleh menjadikan seseorang mulia atau hina . Cinta boleh merubah manusia menjadi lebih baik di sisi Allah dan manusia , dan cinta juga boleh menjatuhkan nilai seseorang dari sudut pandangan Allah dan manusia . 

Di kesempatan yang terbatas ini , ayuhlah kita bermuhasabah tentang cinta . Mudah-mudahan , muhasabah kita ini boleh menyedarkan kita semua dimana letaknya rasa cinta kita . Di tempat yang sepatutnya atau cinta kita ini sudah tersasar selama ini ? 

Orang yang beriman , sangat cinta kepada Allah .

(Surah Al-Baqarah , ayat 165)

Amaran kepada yang meletakkan cinta kepada makhluk melebihi cinta kepada Allah .

Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika

(Surah At-Taubah , ayat 24)

Jika selama ini kia telah meletakkan cinta dan perhatian terhadap makhluk melebihi cinta dan perhatian terhadap Allah , mulai hari ini , marilah kita letakkan cinta dan rasa kasih itu ditempat yang sepatutnya .

Menyedari meletakkan cinta terhadap Allah melebihi segala-galanya , kita mesti membuktikan rasa cinta itu . Tidak cukup dengan hanya berkata "Aku cintakan Allah" atau "Allah adalah segala-galanya bagiku" . Ianya mesti dibuktikan .

Allah SWT telah berfirman didalam Al-Quran tentang pembuktian cinta kepada Allah adalah dengan mengikuti segala suruhan dan perintah yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW .


(Surah Ali-Imran , ayat 31)

Saudara/i sekalian , sudah banyak rasa kecewa menyinggah diri kita . Sudah berulang kali kita didatangi keresahan apabila harta yang kita cintai hilang atau berubah hak milik . Ya , cinta kepada makhluk pasti mengundang kekecewaan .

Sekiranya cinta dan kasih diletakkan kepada Allah SWT melebihi rasa cinta kita kepada makhluk-Nya , nescaya kita tidak akan didatangi kecewa . Perasaan sedih yang melanda akan segera terubat apabila cinta kepada Allah menguasai jiwa . Malah , jiwa akan hidup dalam ketenangan dan kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa .

Hadis riwayat Anas ra , beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda ;
"Ada tiga hal yang barangsiapa yang mengamalkannya , maka ia dapat menemukan manisnya iman , iaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada yang lain , mencintai orang lain hanya kerana Allah , tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api neraka"

[Shahih Muslim , No.20]

Semoga perkongsian yang ringkas ini dapat melahirkan rasa ingin memperbaiki rasa cinta kepada Allah . Mudah-mudahan , kita semua tergolong dalam kumpulan manusia yang meletakkan dambaan cinta dan redha Allah sebagai yang utama . Aamiin .

Wallahu'alam . Semoga bermanfaat :)

Jerebu ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Apa khabar saudara/i yang sedang membaca blog ini ? Bagi yang sihat walafiat , Alhamdulillah . Teruskan menjaga kesihatan diri dengan baik . Bagi yang kurang sihat , saya doakan semoga saudara/i cepat sembuh dan sentiasa berada dalam lindungan Allah S.W.T . Bersabarlah dalam menghadapi ujian dari Allah . Sesungguhnya sakit itu kafarah dosa . :)

Berbalik kepada tajuk utama . Seperti yang kita semua sedia maklum , hampir kesemua negeri di Malaysia ini mengalami pencemaran udara yang teruk akibat jerebu . 

Ramai yang mengatakan punca jerebu ini berlaku akibat kebakaran hutan , pembakaran terbuka , asap dari kilang , asap dari kenderaan , dan sebagainya . Namun , bagi saya , ini hanyalah alasan bagi kaum yang tidak mahu berfikir lebih . Kerana sesuatu perkara itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah . 

Pada pendapat saya , jerebu yang kita alami pada saat ini adalah merupakan suatu azab dari Allah kerana manusia bermain-main dan tidak yakin dengan hukum Allah . Hal ini diperjelaskan oleh Allah didalam Surah Ad-Dukhan .

[7] Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya ; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu , maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu)

[8] Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia ; Dia lah Yang menghidupkan dan Yang mematikan ; (Dia lah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu

[9] (mereka tidak meyakini kebenaran yang telah dijelaskan kepada mereka) , bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama

[10] Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)

[11] Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu , sehingga mereka akan berkata : "Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan"

[12] (pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata) : "Wahai Tuhan kami ! Hapuskanlah azab ini dari kami , sesungguhnya kami akan beriman !"

(Ad-Dukhan , ayat 7-12)

Walaupun begitu , marilah kita melihat musibah ini dari sudut yang lebih positif . Sememangnya musibah itu adalah dengan dua tujuan . Yang pertama sebagai bala , balasan dunia kepada manusia yang ingkar . Yang kedua sebagai peringatan kepada manusia yang beriman dan berakal . 




Dan tiadalah peringatan itu melainkan ia merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hamba-Nya . Dan tiadalah yang lebih mengetahui tentang manusia melainkan Allah akan sifat manusia yang mudah lupa dan mudah tergoda . Maka dikurniakan peringatan demi peringatan dalam pelbagai bentuk kepada hamba-Nya agar hamba-Nya kembali mengingati-Nya . Betapa kasihnya Allah kepada hamba-Nya . 

Sikap kita sebagai seorang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah SAW .

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra , berkata : Rasulullah SAW bersabda ; Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu ; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman dimana bila mendapatkan kesenangan , ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya .
(Riwayat Muslim)

Maka , hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak terhadap Allah . Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara , senang atau susah . Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa . Sabar kerana itulah tanda orang yang beriman .

Abdullah bin Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan Alhamdulillah dan redha kerana :-
• musibah yang datang bukan urusannya
• tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi
• Allah akan kasih padanya
• Allah akan beri pahala
• antara rahmat Allah yang akan kita perolehi apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa , menambah pahala dan pencetus hidayah . Semua ini boleh kita perolehi hanya apabila kita syukur dan sabar .
• apabila kita bersikap sebaliknya , apa yang kita perolehi juga adalah sebaliknya . Nauzubillah . Moga dijauhkan .

Oleh itu , saudara/i sekalian hendaklah bersabar apabila ditimpa jerebu ini . Janganlah saling menyalahi antara satu sama lain . Sebaliknya , bersama-samalah dalam menangani masalah ini . Berdoalah kepada Allah .

Disini saya selitkan langkah-langkah keselamatan yang patut dilakukan ketika jerebu .

• mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk , selsema , asma , sakit mata , sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk
• mereka yang didalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan
• penutup hidung (nasal mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal , mereka yang bekerja diluar bangunan atau ditempat-tempat yang berhabuk , dan juga mereka yang didalam kumpulan yang berisiko tinggi
• perokok yang mempunyai anak kecil , ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit , jangan merokok didalam rumah (sebaiknya jangan merokok terus)
• orang ramai dinasihatkan supaya tinggal didalam bangunan atau rumah . Kurangkan aktiviti bersukan diluar rumah
• orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih
• sekiranya kenderaan berhawa dingin , sila gunakannya
• orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak
• mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti diluar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap merbahaya di kawasan mereka

Jagalah kesihatan . :)

-tutup hidung dan mulut takut jerebu . Tapi tak tutup aurat , tak takut pulak kat Allah ?-

Sama-samalah muhasabah diri . In shaa Allah .

Wassalam .

Ahad, 23 Jun 2013

Bulan Syaaban :) ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Rejab sudah berlalu. Kini telah pertengahan Syaaban. Lambaian Ramadan 15 hari lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, “Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”

Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان

“Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan”

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan.”

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak.

Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang.

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.

Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW

Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”

Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban

1. Malam Nisfu Syaaban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : “Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!” Kata saya (Nabi Muhammad SAW): “Hai Jibril, apakah erti malam ini ?” Dia (Jibril) menjawab: “Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu.”

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha.” Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa’idzin.

2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.

Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.

Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.

Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.

Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.

Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.

Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.

Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.

Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.

Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.

-dipetik dari artikel Iluvislam-