Alhamdulillah , setelah beberapa hari meninggalkan blog ini , akhirnya dapat juga saya meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dengan anda semua .
Entri saya pada kali ini ialah tentang "husnudzon" iaitu bersangka baik . Tajuk ini terlintas di fikiran saya tatkala terbaca berita tentang "dia" . Sejak dua menjak ini , ada sahaja khabar berita yang tidak enak didengar tentang dia . Namun begitu , segala persoalan telah dijelaskan olehnya sendiri . Alhamdulillah , dia tidak seperti yang "mereka" khabarkan .
Kepada dia , mungkin ini adalah ujian dan dugaan untuk anda dan alhamdulillah , anda tidak cepat "melatah" apabila dihujani ujian dan dugaan yang sebegini . Anda dapat menghadapinya dengan baik . Tabahkan hati , kuatkan semangat untuk menempuh hari-hari yang mendatang dengan pelbagai lagi ujian dan liku yang tersedia menanti . Kerana Allah takkan berhenti menguji setiap hamba-Nya . Menguji sejauh mana kesabaran hamba-Nya menerima setiap ujian dari-Nya . Setiap insan telah ditetapkan bentuk dan keadaan ujian yang tersendiri . Sebagai hamba-Nya yang lemah , teruskan melangkah dengan senyuman yang ikhlas walau seberat mana dugaan yang datang . Sentiasalah ingat bahawa Allah sentiasa ada bersama anda . :)
Berbalik kepada tajuk entri kali ini .
Apa itu Husnudzon ? Husnudzon adalah berbaik sangka . Ini adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam kerana perbuatan ini dapat mengelak daripada menuduh orang lain berbuat keburukan yang secara tidak langsung , jika tidak mempunyai bukti yang kukuh menjadikan kita pemfitnah .
"Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui . Kerana pendengaran , penglihatan dan hati nurani , semua itu akan diminta pertanggungjawabannya ."
( Al-Isra' ,17:36)
Berbaik sangka juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya . Antaranya adalah hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik . Ini kerana apabila hati bebas dari bersangka buruk terhadap saudara itu , maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan baik-baik belaka . Maka sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu . Bayangkan jika hati penuh dengan sangkaan buruk . Sudah pasti apabila lihat sahaja muka saudaranya itu , menjadikan timbul perasaan benci , geram dan segala dendam , biarpun sangkaannya itu belum terbukti benar . Nauzubillah .
Selain itu , bersangka baik juga dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam yang ada pada hati . Titik hitam ini hanya singgah pada hati yang kotor . Jika hati sudah penuh dengan titik hitam , maka proses pembersihannya juga menjadi sukar . Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati ? Jadi , marilah kita mencegah perkara-perkara mungkar dari terus berkumpul di hati kita . Bukan buruk sangka sahaja , malah segala bentuk kemungkaran .
Disini saya selitkan beberapa pesanan Sheikh Abdul Qadir Jailani agar kita sentiasa bersangka baik sesama insan :-
1. Jika engkau bertemu dengan seseorang , maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu . Ucapkan dalam hatimu , "Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku ."
2. Jika bertemu anak kecil , maka ucapkanlah dalam hatimu , "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah , sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepada-Nya . Tentu anak ini jauh lebih baik dariku ."
3. Jika bertemu orang tua , maka ucapkanlah dalam hatimu , "Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku . Tentu dia lebih baik dariku ."
4. Jika bertemu dengan seorang yang berilmu , maka ucapkanlah dalam hatimu , "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi , mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai , mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya . Tentu dia lebih baik dariku ."
5. Jika bertemu dengan seorang yang bodoh , maka katakanlah dalam hatimu , "Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu) , sedangkan aku bermaksiat kepada-Nya padahal aku mengetahui akibatnya . Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak . Dia tentu lebih baik dariku ."
"Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) , dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain , (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olokkan) . Janganlah kamu saling mencela satu sama lain , dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk . Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman . Dan barangsiapa tidak bertaubat , maka mereka itulah orang-orang yang zalim ."
(Al-Hujurat ,49:11)
Firman Allah lagi ;
"Wahai orang-orang yang beriman ! jauhilah kebanyakkan dari sangkaan , (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa , dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang , dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain . Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati ? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya . Dan bertaqwalah kamu kepada Allah , sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat , lagi Maha Mengasihani ."
(Al-Hujuraat , 49:12)
Saya pernah terbaca sepotong ayat dari suatu artikel yang lebih kurang berbunyi begini . "Jika anda sangka anda adalah orang yang paling bertaqwa kerana anda adalah orang bertaqwa , maka di saat itu juga , anda bukanlah orang yang bertaqwa sebenarnya ."
Namun begitu , kita harus beringat . Andai kata kita ternampak orang melakukan maksiat , dan kita bersangka baik terhadap mereka , maka kita juga tidak terlepas dari menanggung dosa tersebut . Kerana Islam mewajibkan kita mencegah kemungkaran yang berlaku di persekitaran kita dengan kemampuan yang ada pada kita seperti mana sabda Rasulullah s.a.w;
"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran , hendaklah ia mengubah / mencegah dengan tangannya (kekuasaan) , jika ia tidak mampu , maka dengan lidahnya (secara lisan) , dan jika ia tidak mampu juga , maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju , tidak meredhai) . Dan itu adalah selemah-lemah iman ." [Hadis Riwayat Muslim]
Jelas di sini , kita tidak boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan . Contohnya apabila terlihat orang bermain judi , dan kita bersangka dalam hati , "Mungkin orang ini kesuntukan wang . Biarlah , dia pun nak cari rezeki menyara keluarga ." Tetapi sebaliknya , kita haruslah mencegah kemungkaran itu , bukan meredhainya .
Semoga sedikit peringatan ini dapat membawa kita untuk bermuhasabah kembali serta membaiki hubungan sesama manusia . Dan yang lebih penting , bersangka baiklah dengan Allah . Wallahualam .
-bersangka baiklah . Setiap apa yang dilakukan oleh seseorang itu , pasti ada sebabnya dan setiap apa yang berlaku itu , pasti ada hikmahnya-
Sekian sahaja untuk entri kali ini . Semoga bermanfaat . Assalamualaikum :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan