Assalamualaikum ..

Assalamualaikum :)

Selasa, 28 Mei 2013

Kahwin Muda ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Sejak akhir-akhir ini ramai yang melangsungkan perkahwinan pada awal waktu , ketika masih belajar atau ketika umur masih muda . Alhamdulillah .

Sama ada kepada mereka yang "menyokong" kahwin awal atau sangat "menentang" kahwin awal , apa yang perlu difahami bahawa setiap individu mempunyai situasi atau masalah yang berbeza-beza dan pelbagai . ada yg perlu kahwin awal , ada yang merasakan tidak perlu kahwin selagi belum habis belajar dan macam-macam lagi . Jangan mengharapkan orang lain sama fikiran dengan kita . walaupun rambut sama hitam , belum tentu hati dan perasaan itu mempunyai persamaan .

Anjuran perkahwinan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabda baginda :

"Wahai sekalian pemuda-pemuda: Sesiapa di antara kamu yang mampu nikah (disebut dalam syarah makna hadis ini, "Nikah" bererti jima', nafkah dan mahar)", maka berkahwinlah; kerana sesungguhnya ia (kahwin) lebih menundukkan pandangan, lebih menjaga kemaluan. Dan jika dia tidak mampu, maka (digalakkan) berpuasa; itu adalah penjagaan baginya."
(Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari 1905, Muslim 1400)

Ada ulamak hadis menyatakan bahawa istilah "pemuda-pemuda" di situ ditekankan sebagai galakan agar disegerakan perkahwinan pada umur yang masih muda (ada ulamak yang menyatakan sebelum umur 40 tahun , dan ada yang menyatakan 25 tahun dan pelbagai lagi tafsiran ulamak) .
Di sini , dinyatakan beberapa situasi yang perlu diambil perhatian , sebelum membuat keputusan tanpa menuding orang lain . tepuk dada tanya hati dan iman ! 
Pertama: Mereka yang tidak mengalami gelodak jiwa dan mampu menahannya (samada dengan berpuasa , ataupun boleh mengawal fikirannya dengan sebaik mungkin) maka golongan ini adalah dinasihatkan terus fokus kepada apa yang dilakukan seperti belajar , bekerjaya dan sebagainya . Dalam masa yang sama sentiasa bermohon kepada Allah agar segala urusan dipermudahkan di dunia dan di akhirat .
Kedua: Mereka yang "merasakan" dirinya dapat menahan semua itu tetapi dalam masa yang sama sibuk melakukan pelbagai maksiat (berhubungan bebas dengan bukan mahram) , golongan ini sepatutnya mencari jalan keluar dari hal ini sama ada menghalalkan perhubungan dengan pernikahan atau memutuskan hubungan agar hidup lebih diberkati . Lakukan ini kerana taqwa kepada Allah . in shaa Allah pasti ada jalannya .
Ketiga: Mereka yang tidak dapat lagi menahan diri , mereka telah cuba tetapi hati mereka tetap tidak tenang , fokus hilang , hanya terasa ingin kahwin sahaja , tetapi masih mampu menghalang diri daripada maksiat-maksiat . maka golongan ini juga disyorkan agar mencari jalan terbaik dan mohon petunjuk Istikharah daripada Allah . mengadu selalu kepada Allah . jika telah ada calon yang sesuai , bersegeralah untuk halalkan dengan cara terbaik . tekadkan dalam diri bahawa "aku lakukan ini kerana Taqwa" , tingkatkan prestasi diri melalui persiapan dari segenap segi . semoga jalan yang dipilih itu paling diberkati .

Firman Allah SWT :

"sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
(Surah at-Talaq ayat 2)

Melalui tiga situasi ini , difahami bahawa masing-masing ada AKAL untuk menilai diri sendiri di situasi mana dirinya berada dan jika perlu berbincanglah sebaiknya dengan mereka yang lebih tua (hormati pandangan mereka) , atau sesiapa sahaja yang berpengalaman (yang boleh dipercayai) . Apa sahaja pilihan kita , janganlah sampai tersalah menilai seseorang melalui sudut kacamata diri kita (itu merupakan satu kesalahan besar) lantas menghukum orang itu lebih teruk maka terkeluarlah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kepada saudara kita sesama Islam .
"Gatal sangat dah ke ? sampai perlu kahwin masa belajar !"
"Belajarlah bagi selesai dahulu !"
"Aku boleh fokus , takkan dia tak boleh . saja je tu nak kahwin awal !" dan macam-macam lagi .
Sepatutnya , adalah lebih baik kita cuba memandang dari sudut kacamata orang tersebut . mungkin ada kejernihannya dan pelbagai perkataan yang menyakitkan hati itu mungkin tidak akan keluar . memadailah pesanan Rasulullah SAW sebagai peringatan :

"Orang Islam itu ialah individu yang orang-orang Islam selamat daripada lisannya (kata-kata kesat/mengumpat) dan tangannya (kezalimannya)".

(Hadis Riwayat al-Bukhariy : 6484)

Secara kesimpulannya , pegangan utama kita adalah Taqwa kepada ALLAH jika kita mampu mengelakkan maksiat dan mampu menahan diri , bahkan mampu fokus tanpa memikirkan hal-hal kahwin semasa belajar , maka teruskanlah . dan jangan lupa berdoa untuk mendapat kemudahan/kejayaan dunia dan akhirat (termasuklah perkara-perkara jodoh) .
Manakala jika kita tidak mampu menghalang diri , telah bergelumang dengan hubungan bukan mahram (terutama yang telah mempunyai seseorang yang istimewa) , persiapkan diri (dari segala segi) . cari jalan untuk segera menghalalkannya ataupun pilih jalan untuk menjauhkan diri dulu dari semua itu .
Ingatlah ! Bagi mereka yg sedang dalam lamunan dan hanyut ombak , fikir-fikirkanlah utk menghalalkannya dan jika masih belum bersedia , jangan sesekali bermain "api" .
Dan bagi yang belum tiada dan masih dalam proses mencari atau masih belum memikirkan , maka sentiasalah berdoa ada diketemukan yang terbaik dari sisi-Nya , dan setiap taqdir-Nya itu dirangkaikan dengan keredhaan-Nya semata-mata .
Satu analogi untuk seseorg yang bersedia ke arah cinta halal atau yg sedang bercita-cita ke arah itu .
"Untuk menjadi nahkoda , apa yang penting pada mulanya adalah persiapan sebuah bahtera yang lengkap dan berusaha sedaya mungkin untuk melihat dari segenap penjuru tentang keadaan bahtera tersbut . seterusnya , nahkoda juga perlu menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu pengendalian bahtera serta ilmu-ilmu teknikel yang berkaitan agar dengan membawa masuk anak-anak kapal ke dalam bahtera seterusnya berlayar dapat menjamin keselesaan mereka semua dan yang pasti setiap bahtera berlainan nahkoda dan berlainan lautan menjanjikan pelbagai peristiwa/dugaan yg bakal ditempuh dan ini semua diatasi dengan ilmu-ilmu yang telah dilengkapi sebelum ini ."
"Jika hanya mendayung sampan , jangan sesekali menduga lautan dalam . jika hanya persediaan terlalu sedikit , masih belum tetap pendirian dan keyakinan , jangan sekali-kali mencuba untuk memasuki alam perkahwinan yang menanti dengan 1001 warna kehidupan yang mana impian fantasi belum tentu menjadi realiti ."
-dipetik daripada artikel IluvIslam- :)
-disini juga saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru kepada sahabat saya yg "kahwin muda" . beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga 2 3 hari yg lepas . Semoga perkahwinanmu kekal ke akhir hayat dan sentiasa diberkati Allah . tahniah saudari . :)-

Ahad, 26 Mei 2013

Siapa Kita Tanpa Allah ?

Bismillah . Assalamualaikum .

Sebenarnya apa yang kita cari dalam hidup ini?

Ada yang menjawab harta, wang ringgit, kebahagiaan, keluarga yang bahagia, kawan yang ramai dan sebagainya.

Namun, walaupun semuanya ada digenggaman, ada kalanya kita merasa resah. Walau acap kali kita merasa terlalu bahagia seperti dunia ini kita yang punya, rasa gelisah tetap juga mengusik jiwa... tidak tahu apa puncanya...

Kenapa ada waktu kita resah dan ada waktu pula kita merasa bahagia?

Cuba sahabat-sahabat meletakkan tangan ke dada dan rasa degupan jantung serta sebutlah astaghfirullahal 'Azim dengan rendah hati.... apa yang sahabat rasa?

Seakan wujud satu rasa keinsafan dan kesedihan bukan? Sedih itu bukan bererti kita sedih meratapi tetapi sebenarnya ketenangan yang abadi hinggap di hati apabila kita mengingati Allah.

Cuba sahabat-sahabat tunduk, merasakan diri ini lemah di hadapan Allah.

Mata yang melihat ini anugerah Allah, tangan yang bergerak ini kepunyaan Allah, kaki yang berjalan ini milik Allah... apa yang sahabat rasa?

Pastinya timbul rasa kerendahan hati di hadapan Allah bukan? Dan tidak semena-mena perasaan resah gelisah yang tidak tahu puncanya itu hilang sedikit demi sedikit...

Pada waktu kita merasakan terlalu sedih, hina dan tidak berdaya, kita cuba menyebut astaghfirullahal 'Azim...

 Mengenang kembali dosa-dosa yang terdahulu seterusnya memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Adakalanya kita merasakan diri kita bebas dari dosa, seolah-olah sepanjang hidup kita tidak pernah melakukan dosa.

Apakah maksud perasaan itu?

Ia bermaksud kita sombong di hadapan Allah. Kita merasakan diri kita sudah terlepas dari azab seksa atas usaha kita sendiri; bukan atas belas ehsan dari Allah SWT.

Ingatkah sahabat pada kisah seorang ahli ibadah ketika dia ingin dimasukkan ke dalam syurga? Dia bertanya kepada Allah :

"Mengapakah aku dimasukkan ke syurga?"

Lantas Allah menjawab, "Kerana rahmat-Ku engkau masuk ke syurga"

Lelaki itu membalas,  "Tidak, aku mahu masuk ke syurga kerana ibadahku yang banyak." 

Lalu Allah lemparkannya ke neraka kerana kesombongannya di hadapan Allah.

Kadangkala kita berasa diri kita kosong, tanpa ada sebab yang kukuh. Sehingga kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang kita telah lakukan sebentar tadi sehingga kita terasa sebegitu kosong. Ini kerana kita belum temui lagi kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Kita lupa apa tujuan kita hidup iaitu untuk beribadah kepada Allah.

Apa sahaja yang kita rasa samada bahagia atau sengsara, kuncinya adalah dengan kembali kepada Allah. Akhirnya kita akan temui apa yang kita cari selama ini apabila hati kita diikat pada tali Allah. Kita memerlukan Allah dalam hidup kita sedangkan Allah tidak memerlukan sesiapa...

Bantulah hambaMu ini untuk meraih cintaMu , Ya Allah .

Khamis, 23 Mei 2013

Hari Jumaat Hari Istimewa ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum muslimin. Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

KEUTAMAAN HARI JUMAAT

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Hari paling baik dimana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaatt, pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi, pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya."

1. Hari yang paling mulia dan merupakan penghulu dari hari-hari

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Idhul Fitri dan Idul Adha di sisi Allah, pada hari jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selama tidak memohon yang haram, dan di hari jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat." (Hadis Riwayat Ahmad)

2. Waktu yang mustajab untuk berdo'a

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menyebut hari jumaat lalu beliau Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Di hari Jumaat itu terdapat satu waktu yang jika seseorang muslim melakukan solat di dalamnya dan memohon sesuatu kepada Allah Ta'ala, nescaya permintaannya akan dikabulkan." Lalu beliau memberi isyarat dengan tangannya yang menunjukkan sedikitnya waktu itu. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun mengenai penentuan waktu, para ulama berselisih pendapat. Di antara pendapat-pendapat tersebut ada 2 pendapat yang paling kuat:

i. Waktu itu dimulai dari duduknya imam sampai pelaksanaan solat jumaat

Dari Abu Burdah bin Abi Musa Al-Asy'ari r.a. bahawa 'Abdullah bin 'Umar r.a. berkata padanya, "Apakah engkau telah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis dari Rasulullah sehubungan dengan waktu ijaabah pada hari jumaat?" Lalu Abu Burdah mengatakan, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 'iaitu waktu antara duduknya imam sampai solat dilaksanakan.'" (Hadis Riwayat Muslim)

Imam Nawawi rahimahullah menguatkan pendapat di atas. Sedangkan Imam As-Suyuthi rahimahullah menentukan waktu yang dimaksud adalah ketika solat didirikan.

ii. Batas akhir dari waktu tersebut hingga setelah Asar

Dari Jabir bin 'Abdillah rr.a., dari Nabi s.a.w. bersabda, "Hari Jumaat itu dua belas jam. Tidak ada seorang muslim pun yang memohon sesuatu kepada Allah dalam waktu tersebut melainkan akan dikabulkan oleh Allah. Maka peganglah erat-erat (ingatlah bahawa) akhir dari waktu tersebut jatuh setelah 'asar." (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Dan yang menguatkan pendapat kedua ini adalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah, beliau mengatakan bahawa, "ini adalah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan generasi salaf dan banyak sekali hadis-hadis mengenainya."

3. Dosa-dosanya diampuni antara jumaat tersebut dengan jumaat sebelumnya

Dari Salman Al-Farisi r.a. mengatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau mengoleskan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia mendirikan solat yang sesuai dengan tuntunannya, lalu diam mendengarkan (dengan saksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (dosa-dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

AMALAN-AMALAN HARI JUMAAT

1. Membaca surah al-Sajdah dan al-Insan dalam solat subuh

Dari Abu Hurairah r.a., katanya :

"Nabi s.a.w. ketika solat Subuh membaca: "ALIF LAAM MIIM TANZIIL AS-Sajadah (Surah As-Sajadah), dan 'HAL ATAA 'ALAL INSAANI HIINUM MINAD DAHRI (Surah Al-Insaan)." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2. Memperbanyakkan selawat

Dari Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Perbanyaklah selawat kepadaku setiap hari Jumaat kerana selawat umatku akan dipersembahkan untukku pada hari Jumaat, maka barangsiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dia akan paling dekat darjatnya denganku." (Hadis Riwayat Baihaqi dengan sanad shahih)

3. Membaca surat Al Kahfi

Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, akan diberikan cahaya baginya diantara dua jumaat." (Hadis Riwayat Al-Hakim dan Baihaqi dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani)

4. Memperbanyak do'a 

5. Amalan-amalan solat jumaat (bagi laki-laki)

  • Mandi, bersiwak, dan memakai wangi-wangian.
  • Bergerak awal ke masjid.
  • Diam mendengarkan khatib berkhutbah. 
  • Memakai pakaian yang terbaik. 
  • Melakukan solat sunnah selama imam belum naik ke atas mimbar.

Manfaatkan kelebihan hari Jumaat ini dengan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebut dalam hadis-hadis di atas.

Semoga Allah merahmati dan membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya.

Allah s.w.t berfirman :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Imran:31)

Kaya Dunia , Kaya Akhirat ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Alangkah indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa yang dimahukan, hampir semuanya boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana, ada sahaja yang hendak memberikan layanan ala first class. Jadi kalau ditanya kepada sesiapa – mahukah menjadi papa ataupun muflis? Jawapannya sudah tentu tidak!

Namun, dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi muflis di dunia, ada antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak bankrap di akhirat. Sebab itulah ada yang ghairah mengaut kekayaan dengan bermacam-macam cara sama ada 'halal' ataupun 'haram'. Tetapi di celah-celah itu juga masih ada terselit segelintir orang yang begitu ghairah membuat persiapan untuk kaya di akhirat. Cuma sayangnya, mereka papa pula di dunia.

Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat, pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, seorang Muslim bukan hanya perlu mengejar kemewahan duniawi, tetapi juga kekayaan akhirat. Ini bersandarkan kepada sepotong ayat yang terdapat dalam kitab al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Hendaklah tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang memperbuat bencana itu." (al-Qashash:77)

Tegas beliau lanjut, penilaian kepada muflis di dunia adalah bersandarkan kepada harta, sementara akhirat pula adalah pahala. Justeru itu, untuk menjadi individu kaya di 'hari kemudian' kelak, kekayaan harta dunia itu perlu ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk pahala.

Lakukan transformasi

"Kita tidak boleh mengejar kekayaan hanya untuk di dunia atau hanya untuk di akhirat sahaja. Kita juga tidak boleh menjadi bankrap di dunia semata-mata hendak menjadi kaya di akhirat. Kita kena kedua-duanya sekali. Sebab manusia yang paling baik adalah yang kaya di dunia dan kaya juga di akhirat. Dengan kata lain, dia kaya harta dan kaya pahala," hurai beliau.

Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor, individu kaya beruntung kerana dia boleh menukarkan aset dunianya bagi membolehkan dia membuat pelaburan pahala di akhirat. Hal ini berbeza pula dengan orang yang kurang berada, apalagi seorang fakir. Namun, golongan yang berada harus ingat – kalau hari ini dia kaya di dunia, tidak mustahil dia boleh menjadi muflis di akhirat gara-gara gagal menggunakan hartanya secara berhikmah di jalan Allah. Dan boleh jadi harta itu juga akan menyebabkan dia lengah masuk syurga.

Namun, bagi yang kurang berada pula, walaupun peluang menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang kaya, dia juga sebenarnya turut beruntung. Ini kerana kata Prof Madya Hj Mohd Nor, kurang harta akan menyebabkan dia kurang berbuat dosa dalam proses pengendalian harta yang ada.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cara untuk mengaut pahala demi kekayaan di akhirat. Bagi yang berkemampuan dari segi material, sudah tentu membelanjakan harta dalam bentuk yang diredai Allah boleh menukarkan ia kepada pahala. Bagaimanapun, tegas beliau, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

"Syarat pertama, benda yang kita belanjakan itu tidak termasuk dalam perkara haram. Kedua, niat mestilah ikhlas kerana Tuhan. Ketiga, kena melakukan dengan sedar. Jika tersilap bagi itu, itu termasuk dalam kategori tidak sedar. Jadi tidaklah mendapat pahala. Dan yang keempat pula tidak menafikan arahan-arahan Tuhan yang lain. Kalau cukup syarat tadi, perbelanjaan harta kita akan bertukar kepada pahala akhirat," jelasnya sambil menambah semuanya itu turut dikenali sebagai syarat ibadah umum.

Mengulas perihal ada orang yang sanggup menghabiskan keseluruhan hartanya untuk bersedekah, Prof Madya Hj Mohd Nor berkata, itu bukanlah cara terbaik untuk membuat pelaburan di akhirat. "Kalau kita hendak mendapatkan banyak pahala sebagai saham di akhirat, janganlah pula sampai kita melarat, tidak boleh hidup di dunia... Kita kena tengok model Rasulullah SAW," ujarnya.

>Mengulas lanjut, beliau memetik kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad. Baginda pernah bertanya kepada sahabat – siapa yang mahukan pahala di akhirat dengan menginfakkan harta benda mereka? Lantas Abu Bakar bangun dan berkata ya. Rasulullah bertanya berapa banyak? Dan Abu Bakar memberitahu ingin menginfakkan keseluruhan hartanya sehingga yang tinggal hanyalah rasul dan Tuhan.

Mendengar kata-kata Abu Bakar, Nabi Muhammad terus berkata tidak boleh. Kemudian Umar Al-Khattab pula menawarkan diri dengan menginfakkan separuh daripada hartanya. Ini turut ditolak oleh baginda. Sebaliknya Rasulullah menegaskan bahawa hanya satu pertiga sahaja yang boleh diinfakkan. Selebihnya adalah untuk diri dan keluarga.

Bersedekahlah kepada keluarga

Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor lanjut, walaupun seseorang itu melakukan sesuatu demi meraih pahala untuk akhirat, dia tidak boleh meletakkan dirinya di dunia dalam jurang kemusnahan. Dengan kata mudah, seorang Muslim tidak boleh sengaja menyusahkan dirinya. Selain itu, beliau turut menegur sikap kebanyakan Muslim yang menganggap sedekah tidak boleh diberikan kepada keluarga. Tegasnya, ini merupakan antara salah faham yang perlu diperbetulkan.

"Bagi sedekah dalam Islam sebenarnya bermula dari kaum kerabat dulu. Maknanya kalau kita tidak beri cukup makan kepada keluarga kita, tetapi kita beri sedekah kepada orang lain walaupun anak yatim, itu sudah kira salah. Kita kena utamakan keluarga, kemudian baru kepada anak-anak yatim. Kalau emak kita miskin, kita kena bagi dulu kepada emak. Sebab sedekah kepada emak itu lebih perlu," beritahunya.

Selain itu, untuk meningkatkan saham pahala di akhirat, seseorang itu juga perlu berilmu. Ini kerana dengan ilmu tersebut dia akan bijak membuat pilihan disebabkan dia tahu yang man satu harus menjadi keutamaan. "Ulama ada kata, orang berilmu buat benda sikit. Tetapi pahalanya banyak sebab dia tahu mana satu menjadi keutamaan. Dia bijak dalam mengenal peluang pelaburan."

Semoga bermanfaat . In shaa Allah :)

Isnin, 20 Mei 2013

Jangan Pernah Takut ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Apa khabar saudara/i yang sedang membaca blog ini ? semoga saudara/i berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa diberkati-Nya .


Entri saya pada kali ini ringkas sahaja . Sekadar kata-kata semangat untuk mereka yang takut akan kehilangan sesuatu yang belum menjadi hak mereka . (juga kepada diri sendiri)


Cinta itu fitrah . Ianya perasaan yang sememangnya wujud dalam diri setiap manusia .


Mencintai seseorang itu adalah hak kita . Namun , memiliki seseorang yang kita cintai tanpa ikatan sah dan halal itu bukan hak kita .


Jangan pernah takut melepaskan sesuatu yang belum tentu berhak kita miliki . Dia pasti akan kembali seandainya Allah mejadikan dia untuk kita miliki atau Allah akan menggantikan dengan yang jauh lebih baik .


Sabarlah duhai hati . Relakanlah dia pergi . Sekiranya dia memang untukmu , dia pasti akan kembali . Yang penting , redha dengan ketentuan Ilahi . 



Ahad, 19 Mei 2013

Bersangka Baik :)

Assalamualaikum .

Alhamdulillah , setelah beberapa hari meninggalkan blog ini , akhirnya dapat juga saya meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dengan anda semua . 

Entri saya pada kali ini ialah tentang "husnudzon" iaitu bersangka baik . Tajuk ini terlintas di fikiran saya tatkala terbaca berita tentang "dia" . Sejak dua menjak ini , ada sahaja khabar berita yang tidak enak didengar tentang dia . Namun begitu , segala persoalan telah dijelaskan olehnya sendiri . Alhamdulillah , dia tidak seperti yang "mereka" khabarkan . 

Kepada dia , mungkin ini adalah ujian dan dugaan untuk anda dan alhamdulillah , anda tidak cepat "melatah" apabila dihujani ujian dan dugaan yang sebegini . Anda dapat menghadapinya dengan baik . Tabahkan hati , kuatkan semangat untuk menempuh hari-hari yang mendatang dengan pelbagai lagi ujian dan liku yang tersedia menanti . Kerana Allah takkan berhenti menguji setiap hamba-Nya . Menguji sejauh mana kesabaran hamba-Nya menerima setiap ujian dari-Nya . Setiap insan telah ditetapkan bentuk dan keadaan ujian yang tersendiri . Sebagai hamba-Nya yang lemah , teruskan melangkah dengan senyuman yang ikhlas walau seberat mana dugaan yang datang . Sentiasalah ingat bahawa Allah sentiasa ada bersama anda . :)

Berbalik kepada tajuk entri kali ini .

Apa itu Husnudzon ? Husnudzon adalah berbaik sangkaIni adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam kerana perbuatan ini dapat mengelak daripada menuduh orang lain berbuat keburukan yang secara tidak langsung , jika tidak mempunyai bukti yang kukuh menjadikan kita pemfitnah .


"Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui . Kerana pendengaran , penglihatan dan hati nurani , semua itu akan diminta pertanggungjawabannya ."
( Al-Isra' ,17:36)

Berbaik sangka juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya . Antaranya adalah hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik . Ini kerana apabila hati bebas dari bersangka buruk terhadap saudara itu , maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan baik-baik belaka . Maka sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu . Bayangkan jika hati penuh dengan sangkaan buruk . Sudah pasti apabila lihat sahaja muka saudaranya itu , menjadikan timbul perasaan benci , geram dan segala dendam , biarpun sangkaannya itu belum terbukti benar . Nauzubillah .

Selain itu , bersangka baik juga dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam yang ada pada hati . Titik hitam ini hanya singgah pada hati yang kotor . Jika hati sudah penuh dengan titik hitam , maka proses pembersihannya juga menjadi sukar . Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati ? Jadi , marilah kita mencegah perkara-perkara mungkar dari terus berkumpul di hati kita . Bukan buruk sangka sahaja , malah segala bentuk kemungkaran .

Disini saya selitkan beberapa pesanan Sheikh Abdul Qadir Jailani agar kita sentiasa bersangka baik sesama insan :-

1. Jika engkau bertemu dengan seseorang , maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu . Ucapkan dalam hatimu , "Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku ."

2. Jika bertemu anak kecil , maka ucapkanlah dalam hatimu , "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah , sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepada-Nya . Tentu anak ini jauh lebih baik dariku ."

3. Jika bertemu orang tua , maka ucapkanlah dalam hatimu , "Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku . Tentu dia lebih baik dariku ."

4. Jika bertemu dengan seorang yang berilmu , maka ucapkanlah dalam hatimu , "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi , mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai , mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya . Tentu dia lebih baik dariku ."

5. Jika bertemu dengan seorang yang bodoh , maka katakanlah dalam hatimu , "Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu) , sedangkan aku bermaksiat kepada-Nya padahal aku mengetahui akibatnya . Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak . Dia tentu lebih baik dariku ."

"Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) , dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain , (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olokkan) . Janganlah kamu saling mencela satu sama lain , dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk . Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman . Dan barangsiapa tidak bertaubat , maka mereka itulah orang-orang yang zalim ." 
(Al-Hujurat ,49:11)

Firman Allah lagi ;

"Wahai orang-orang yang beriman ! jauhilah kebanyakkan dari sangkaan , (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa , dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang , dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain . Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati ? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya . Dan bertaqwalah kamu kepada Allah , sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat , lagi Maha Mengasihani ."
(Al-Hujuraat , 49:12)

Saya pernah terbaca sepotong ayat dari suatu artikel yang lebih kurang berbunyi begini . "Jika anda sangka anda adalah orang yang paling bertaqwa kerana anda adalah orang bertaqwa , maka di saat itu juga , anda bukanlah orang yang bertaqwa sebenarnya ."

Namun begitu , kita harus beringat . Andai kata kita ternampak orang melakukan maksiat , dan kita bersangka baik terhadap mereka , maka kita juga tidak terlepas dari menanggung dosa tersebut . Kerana Islam mewajibkan kita mencegah kemungkaran yang berlaku di persekitaran kita dengan kemampuan yang ada pada kita seperti mana sabda Rasulullah s.a.w;

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran , hendaklah ia mengubah / mencegah dengan tangannya (kekuasaan) , jika ia tidak mampu , maka dengan lidahnya (secara lisan) , dan jika ia tidak mampu juga , maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju , tidak meredhai) . Dan itu adalah selemah-lemah iman ." [Hadis Riwayat Muslim]

Jelas di sini , kita tidak boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan . Contohnya apabila terlihat orang bermain judi , dan kita bersangka dalam hati , "Mungkin orang ini kesuntukan wang . Biarlah , dia pun nak cari rezeki menyara keluarga ." Tetapi sebaliknya , kita haruslah mencegah kemungkaran itu , bukan meredhainya .

Semoga sedikit peringatan ini dapat membawa kita untuk bermuhasabah kembali serta membaiki hubungan sesama manusia . Dan yang lebih penting , bersangka baiklah dengan Allah . Wallahualam .

-bersangka baiklah . Setiap apa yang dilakukan oleh seseorang itu , pasti ada sebabnya dan setiap apa yang berlaku itu , pasti ada hikmahnya-

Sekian sahaja untuk entri kali ini . Semoga bermanfaat . Assalamualaikum :)

Rabu, 8 Mei 2013

Sakit Itu Penghapus Dosa ~

Assalamualaikum .

Sudah jam 2 pagi , namun diri ini masih lagi berjaga . Agak sukar untuk melelapkan mata pada malam ini . Mungkin atas sebab-sebab berikut :

1- kerana seekor makhluk ciptaan Allah yg digelar "lipas"
2- kerana memikirkan sesuatu

Sebab yang pertama , memang tidak dinafikan , saya sangat takut terhadap lipas . Ini kerana sewaktu saya kecil-kecil dahulu , ada satu insiden yang membuatkan saya takut dengan lipas . Ketika itu , saya dalam lingkungan 2 @ 3 tahun . Ya , sampai sekarang saya masih ingat . Apa yang terjadi ? Biarlah rahsia . ;)


Sebab yang kedua , memikirkan sesuatu . Sudah menjadi kebiasaan bagi saya sebelum tidur untuk memikirkan apa yang telah saya lakukan sepanjang hari itu . Ya , dalam erti kata lain , muhasabah diri . Namun , pada hari ini , ada perkara tambahan yang membuatkan saya tambah berfikir .


Dikhabarkan , "dia" yang disana sedang sakit . Demam . Sehingga terpaksa mengundurkan diri dalam sesuatu majlis . Saya memikirkan , bagaimanakah keadaan "dia" sekarang ini ? Sudahkah dia makan dengan cukup ? Apakah "dia" telah memakan ubat ? Iyalah , apabila sedang sakit , selera makan seseorang itu akan berkurang . Namun , saya harap , "dia" yang disana dapat bersabar atas ujian dan dugaan yang menimpa dirinya . Sakit itu sebenarnya penghapus dosa . Allah sayangkan anda . Semoga anda cepat sembuh . Jaga diri , jaga iman , dan jaga hati :)



Sedikit perkongsian untuk peringatan kita bersama :


Rasulullah SAW bersabda : "Tidaklah seorang muslim menderita sakit kerana suatu penyakit melainkan Allah menggugurkan kesalahan-kesalahannya dengan penyakit itu , sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya" (HR Bukhari , Muslim)


Jangan dicela sakit yang menimpa . Ambil penyakit itu sebagai peringatan . Sesungguhnya kita ini manusia yang mudah lupa dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan . Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan . Maka ketahuilah bila anda sakit , hakikatnya Allah SWT sedang memberikan perhatian kepada anda . Bukankah itu satu kemuliaan ?


Tetapi bagaimana kita melayan sakit kita ? Bagaimana kita berhadapan dengannya ? Ada di antara kita marah-marah kerana sakit itu menyukarkan kehidupan kita .


Namun Allah SWT berfirman : "dan apa jua bencana , kesakitan yang menimpa kamu , maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri (dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu" (Surah Asy-Syura ayat 30)


Apabila seorang hamba Allah jatuh sakit , Allah akan utuskan 4 orang malaikat :


1- Malaikat Pertama akan mengambil SELERA MAKANNYA

2- Malaikat Kedua akan mengambil REZEKINYA
3- Malaikat Ketiga akan mengambil KECANTIKAN WAJAHNYA ( pucat )
4- Malaikat Keempat akan mengambil DOSANYA

Apabila telah sampai waktu yang telah Allah tetapkan untuk hamba-Nya kembali sihat , Allah akan menyuruh Malaikat Pertama , Malaikat Kedua dan Malaikat Ketiga supaya memberi balik apa yang telah diambil oleh mereka . Akan tetapi Allah tidak menyuruh Malaikat Keempat memberi balik dosa hamba-Nya tersebut .


Subhanallah . Betapa Mulia dan Baik Hati nya Allah terhadap kita . Janganlah bersangka buruk terhadap Allah ketika sakit . Bersyukurlah dan ucaplah Alhamdulillah ke atas-Nya . Sesungguhnya setiap kesakitan itu adalah penghapus segala dosa .


Disini saya selitkan doa-doa bagi orang yang sedang sakit untuk menyembuhkan penyakit .




Ahad, 5 Mei 2013

"Dia"

Bismillah . Assalamualaikum .

Pada waktu sebegini , ku masih lagi berjaga . Menanti kepulangan insan yang disayangi . Alhamdulillah , mata masih lagi mampu bertahan .


TeO panas sudah ku buat , lauk-pauk sudah ku hidang . Hanya menanti kepulangannya sahaja untuk menjamu selera .


Jam 8 malam , ku menelefon "dia" bertanyakan keadaannya dan pada jam berapakah "dia" akan pulang pada hari ini . Jawabnya 'macam semalam' . Ringkas . Ku mengerti . Mungkin "dia" sedang sibuk . Ku akhiri perbualan secepatnya kerana khuatir akan mengganggu pekerjaannya .


Semalam , "dia" pulang pada jam 11 lebih . Ku tahu , "dia" mesti keletihan setelah seharian bekerja . Namun , senyuman tetap terukir mesra di wajahnya . Membuatkan ku rasa syahdu di dalam hati . Ku hidangkan makanan untuknya kerana ku tahu , "dia" belum menjamah sebarang makanan . Sudah menjadi kebiasaannya untuk makan dirumah bersama keluarga .


Sekarang , jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi . Namun , kelibatnya masih tidak kelihatan lagi . Kemanakah "dia" ? Kenapakah masih belum pulang ? Sudah terlalu lewat bagiku . Barangkali dalam perjalanan . Semoga "dia" selamat sampai .


Begitu besar pengorbanannya untuk keluarga . Keluar seawal 7 pagi untuk bekerja dan pulang lewat malam . Kemudian esoknya masih lagi keluar seawal 7 pagi untuk bekerja . Berapa jam sahajakah masa yang "dia" ada untuk berehat ? Ya Allah , sungguh tabah hatinya . Membanting tulang 4 kerat semata-mata untuk menanggung kehidupan seisi keluarga . Sungguh besar pengorbananmu , AYAH . Tidak terbalas olehku jasa-jasamu itu meskipun dengan wang berjuta . Semoga Allah memberkatimu , Ayah .


Ayah , saya ingin selalu ayah tahu . Saya mungkin akan bertemu dengan "putera" saya , tapi Ayah tetap selalu menjadi "raja" saya .


-saya berdoa , agar saya mampu menjadi anak yang solehah yang mampu membawa ayah ke JANNAH-


SAYA SAYANG AYAH


Jumaat, 3 Mei 2013

Permata Yang Dicari ~

Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya

Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat dihati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah

Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari

Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki

Tidak sekali digodai nafsu

Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah

Engkaulah tempat ku bergantung harapanku
Ku harap diriku sentiasa dibawah rahmat-Mu


-Ya Allah , seandainya "dia" baik untuk dunia dan akhiratku , maka satukanlah kami dalam istilah cinta yang akan berakhir dengan perkahwinan yang diredhai-Mu . Tapi seandainya "dia" tidak baik untuk dunia dan akhiratku , maka pisahkanlah kami dalam istilah persahabatan dan persaudaraan islam-

Khamis, 2 Mei 2013

Cinta Kerana Allah

APAKAH MAKSUD CINTA KERANA ALLAH ?

Sekarang ini ramai yang suka berbicara mengenai "Cinta Kerana Allah" . Tapi adakah anda tahu apa maksud sebenarnya ?


Pengertian "Cinta Kerana Allah" adalah mencintai seseorang lantaran ketaatannya kepada Allah atau cinta di jalan Allah . Biasanya seseorang itu bercinta kerana suka atau tertarik terhadap kecantikan dan ketampanan pasangan atau perkara lain yang menarik seperti kekayaan dan bukan didasarkan cinta kepada Allah .


Cuba renung kembali dalam diri kita , adakah sifat cinta kerana Allah telah ada dalam diri kita atau belum ? dan perlu diketahui , seandainya seseorang itu benar-benar cintanya kepada Allah , maka pasti dia akan berusaha menegakkan syariat agama Allah dan tidak akan melanggar larangan-larangan Allah .


Anas bin Malik meriwayatkan , Nabi Muhammad SAW bersabda :

"Seseorang itu tidak akan pernah mendapatkan manisnya iman sehingga dia mencintai seseorang  , tidak mencintainya kecuali kerana Allah ; sehingga dia dilemparkan ke dalam api lebih dia sukai daripada kembali kepada kekufuran setelah Allah selamatkan darinya dan sehingga Allah dan rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya"

Dari hadis ini , terdapat beberapa point penting iaitu :


1. mencintai seseorang kerana mencari redha Allah , bukan cinta hawa nafsu atau melanggar syariat . Seperti cinta seseorang yang ikut berjihad di jalan Allah , tidak untuk tujuan duniawi . Seperti cinta seseorang untuk beramal dan berjuang dalam organisasi . Dilakukan hanya untuk mencari keredhaan Allah .


2. memilih dilemparkan ke dalam api daripada kembali menjadi kafir . Orang yang telah sempurna imannya tidak akan ada yang dapat mengubahnya menjadi kafir lagi . Dia tidak mengingkari ajaran agama yang telah diyakini seperti solat yang telah Allah wajibkan , tidak menghalalkan apa yang telah Allah haramkan , seperti Khamar atau mengharamkan yang halal .


3. mendahulukan cinta kepada Allah dan rasul-Nya mengalahkan selainnya . Orang yang sempurna imannya kepada Allah dan rasul-Nya lebih kuat baginya daripada hak ayahnya , ibunya , anaknya , isterinya dan semua manusia . Membela Islam dengan ucapan dan perbuatan , mengamalkan syariat Islam , mengikuti sunnah dan berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW .



-perasaan cinta yang lahir terhadap seseorang bukanlah tanda kita akan memilikinya . namun kadang-kadang ia muncul sebagai ujian dari-Nya untuk kita . Dia ingin melihat bagaimana kita memelihara , mengawal , dan mengurusnya . perasaan cinta itu amanah , dan amanah pasti akan dihisab oleh Allah-