Assalamualaikum ..

Assalamualaikum :)
Memaparkan catatan dengan label perkahwinan :). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perkahwinan :). Papar semua catatan

Sabtu, 8 Jun 2013

Kenapa Jodoh Tak Kunjung Tiba ? ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Bila ditanya tentang jodoh apa yang kita lakukan sebenarnya dalam menangani hal jodoh ? Adakah kita memilih menunggu dan terus menunggu sambil berharap penuh cemas ? Atau adakah kita akan melakukan 'sesuatu' agar jodoh itu datang menyapa ?
Soal jodoh ini bukan soal enteng , kan ?
Saya pasti perasaan seseorang yang menanti jodohnya datang tapi tak juga kunjung tiba akan bercampur baur perasaan cemas , kecewa dan lambat laun perasaan ini menjadi tekanan yang berlarutan apabila orang sekeliling mula mendesak dan menyakitkan dengan soalan sensitif yang bertubi-tubi .
Apabila kita ke kenduri-kendara , contohnya . 'Sosek-sosek' orang kampung bertanya pada ibu dan ayah kita , "Ish anak kamu tu lawa orangnya , berpendidikan pulak , apa lagi yang dicarinya tu bang/kak?" atau "Lewat sangat usianya anak abang tu , takda calon lagi ke?"
Kalau sekali dua mungkin tahan cuping telinga tapi kalau selalu ? Saya ada teman yang masih solo bercerita yang dia serik pulang ke kenduri-kendara sanak saudara kerana serik diaju soalan-soalan sebegini .
Mungkin ramai yang masih seorang di luar sana memberi pelbagai jawapan yang rasional kenapa masih membujang . Barangkali ada yang mengatakan belum ada calon yang sesuai , ekonomi belum stabil , masih belajar lagi , takut terkongkong dan sebagainya . Terpulanglah .
Suka saya kongsikan konteks murah rezeki selepas berumah tangga yang disebutkan di dalam Al-Qur'an ;
"Dan nikahilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (menikah) daripada hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi maha mengetahui"
(Surah An-Nur, ayat 32)
...dan mafhum hadis riwayat Imam Dailami dalam Musuad-al-Firdaus; "Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)."
Sebab itulah orang tua kata jangan risau jika lepas berkahwin dan mempunyai anak tak cukup wang untuk bagi anak-anak makan kerana adalah 'rezeki anak' itu nanti . Pernah dengarkan begitu ?
Kepada sahabat-sahabat lelaki yang masih bujang ketahuilah bahawa terdapat tiga kunci kebahagiaan suami dalam isteri yang solehah iaitu ;
1. Jika dipandang membuat semakin sayang
2. Jika kamu pergi membuat tenang kerana dapat menjaga kehormatannya
3. Taat pada suami
Pilihlah bakal isteri kerana agamanya kerana Imam Tabrani meriwayatkan dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasullullah S.A.W pernah bersabda; "Barangsiapa yang menikahi wanita kerana kehormatannya (jawatannya) , maka Allah SWT hanya akan menambah kehinaan; barangsiapa yang menikah kerana hartanya , maka Allah SWT tidak akan menambah kecuali kefakiran; barang siapa menikahi wanita kerana hasab (kemuliaannya) , maka Allah SWT hanya akan menambah kerendahannya . Dan barangsiapa yang menikahi wanita kerana ingin menutupi (kehormatan) matanya , membentengi farji (kemaluannya) dan mempererat silaturrahim , Maka Allah SWT akan memberi barakah-Nya kepada suami isteri tersebut"
Janganlah kita jadikan alasan pernah kecewa , inginkan perkahwinan yang glamor umpama puteri raja , tak mampu kerana mas kahwin dan hantarannya mahal , cacat anggota dan rasa rendah diri , tidak boleh kahwin tanpa bercinta dahulu , langkah bendul dan sebagainya sebagai halangan untuk berumahtangga .
Moga yang masih mencari bertemu yang dihajati dan segera membina istana bahagia .
In shaa Allah .
-bila pilihan sudah ada , jangan ditunggu lama-lama . Bersama kecapi bahagia , lengkapi sebahagian agama-
-dipetik daripada artikel IluvIslam- :)

Berganding Bahu Menuju Ilahi ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Sempurnanya Allah mengatur perjalanan hidup manusia , dikurniakannya nikmat dan rahmat yang berterusan pada kita dalam setiap tahap kehidupan . Namun bersama dengan setiap anugerah Allah itu , datang ujian dan tanggungjawab yang berat . Salah satu anugerah Allah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia ialah kurniaan suami atau isteri dan pernikahan .

Suami adalah manusia biasa , bukan malaikat , juga berjuang dengan fitrahnya yang sentiasa ingin mencari kebaikan dan kebenaran . Dengan fikiran dan perasaannya yang unik sebagai lelaki , yang semestinya berbeza dari minda dan jiwa seorang perempuan , seorang suami yang mengenal hakikat kehidupan akan berusaha memberi yang terbaik kepada perempuan yang sangat dekat dalam hidupnya yang bernama isteri . 
Dengan kelebihan fizikalnya , suami menjadi pelindung dan peneguh kepada isteri yang juga berjuang mencari kebaikan dan kebenaran . Dengan kekuatan ilmu dan iman , seorang suami mampu menjadi pembimbing , penasihat dan teman terbaik pada isteri . Seorang suami juga bertanggungjawab mengetuai perancangan dan aturan masa depan keluarganya dengan membuat keputusan – keputusan penting untuk kebahagiaan dan keberkesanan keluarga yang dibina , tentunya ini dengan bantuan isteri yang menjadi pendorong utamanya .
Namun realiti waktu kini memaparkan sukarnya mencari lelaki yang mampu menjadi teman terbaik . Umpama mencari sebutir permata di kawasan pasir putih yang saujana mata memandang . Saudara muslimah di sana sini ada yang sering bersedih kerana keadaan suaminya yang nampak macho dan gagah , namun kurang rajin dan tidak produktif dengan tanggunggjawab kerja di luar rumah , juga tidak membantu kepenatan isteri mengurus rumahtangga . Jika pun tidak membantu kerja-kerja rumah , bantulah menghibur emosi isteri dengan pujian dan penghargaan . Jua kata-kata cinta yang menenangkan .
Kerap juga didengari , suami yang diharapkan berkongsi ilmu , sering tersasar dengan perbuatan yang tidak bermanfaat , yang mengundang duka di jiwa isteri . Suami yang diharapkan berkongsi kekuatan iman , rupanya sering lalai menunaikan solat dan tidak berminat mendalami agama , sedangkan jiwa isteri memutik rasa untuk mendalami agama Allah dan Rasul-Nya . Isteri jua makan hati dengan akhlak suami yang kasar dan tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya .
Tika ini , di waktu hati seorang isteri berasa tawar dan berpasir menghadapi kekurangan suami , di manakah kekuatan kita untuk meletakkan suami sebagai teman terbaik ? Teman yang menjadi wasilah meraih syurga ?
Wahai saudara muslimahku , ayuh saya peringatkan diri ini dan kalian . tidak akan sekali-kali diri kita sebagai isteri mampu mengecap kebahagiaan sebenar berteman suami seandainya ALLAH dan Rasul tidak menjadi panduan terbaik . Andainya Al Quran dan As-Sunnah jauh dan bukan kecintaan kita , kegembiraan bersuami terasa hambar dan sebentar cuma .
Ayuh kita memuhasabah dan memperbaiki diri , andai diri ini berkeperibadian seorang isteri yang baik , pasti kita juga ada ruang untuk mengaurakan kekuatan untuk suami menjadi suami yang terbaik dengan izin Allah pastinya .
"Saya tak biasa , saya sibuk dan tak ada masa untuk membaca dan mentadabbur Al Quran"
"Saya tidak ada kitab-kitab hadis , saya bukan ustazah nak baca hadis , saya tak mampu beli buku-buku agama"
"Saya tak 'alim , saya bukan orang yang baik-baik macam isteri si fulan"
Wahai diriku dan saudaraku , kita memperuntukkan masa untuk berhias , membelek wajah dan tubuh , mengemas rumah , memasak , membersihkan diri dan anak-anak , maka peruntukkanlah masa juga untuk menghidupkan iman di hati dengan tilawah dan tadabbur -[merenung] ayat-ayat Al Quran , dan masa untuk menikmati manisnya hidangan Islam melalui hadis-hadisnya .
Dalam kesibukan bekerja dan mengurus rumahtangga , peruntukkanlah masa untuk belajar dan terus belajar tentang agama Allah yang memberi makna pada kehidupan sementara kita di dunia . Kita akan serabut melalui kehidupan dengan ilmu yang sedikit , kita menzalimi diri jika tidak berniat untuk menjadi isteri yang berilmu .
Carilah jua masa , ruang dan kesempatan untuk kita belajar menghias diri dengan akhlak mulia dan personaliti yang mampu memberi sumber kekuatan pada suami .
Kita merasa lelah berusaha melayan suami dengan terbaik , menjadi teman bersembang , melayan makan minum , menghibur di kamar , menjaga zuriat dan rumahtangganya , namun kebahagiaan kudus tidak hadir sama sekali ?
Kerana kita sedang menukar kebahagiaan pernikahan dengan kesedihan berpanjangan , bilamana Allah dan Rasul masih tidak menjadi cinta , matlamat dan rujukan utama hidup ini .
Apabila telah mengenal Allah dan Rasul , redha menjalani syariat-Nya , bermujahadah mentaati-Nya ketika itulah hati seorang isteri mampu menjadikan suaminya teman terbaik .
Nurani seorang muslimah yang ikhlas kerana Allah dan mengenal Allah sebagai harapan dan cita-cita utamanya , akan mampu mencintai dan mentaati suaminya dalam keadaan berat dan ringan , dalam keadaan suka dan duka .
Seorang isteri beriman sangat lapang dan berbesar hati berdamping dengan suaminya , dalam apa jua ujian dan cabaran berumahtangga . Dia menjadi cermin utama yang membantu suami memperbaiki diri menjadi lebih baik . Dia mendorong kebaikan suami , maka suami terus istiqamah memimpin diri dan keluarga ke jalan Allah . Dia menjadi pakaian yang melindungi kekurangan dan kesilapan suami , hingga suami yakin dan opitimis menjalani liku kehidupan yang semakin menggugat .
Dengan ilmu dan keimanannya , seorang isteri menjadi peneguh hati seorang suami . Dia bukan sekadar menghargai suami dalam diam , namun membuatkan suami benar-benar terasa dihargai dan difahami . Isteri yang bijak akan meraikan perbezaan suami sebagai seorang lelaki dan memahami karakter sendiri sebagai perempuan hingga apa jua pertimbangan berkaitan rumahtangga tidak semberono mengikut tindakan jua perasaan yang melulu .
Isteri menjadi teman terbaik tatkala dia berilmu untuk memimpin rumahtangga dan anak-anak dan dia juga bersedia membantu kepimpinan suami . Dia menjadi penasihat dan pengkritik yang berhikmah . Dia memberi idea yang bernas dan matang . Dan sesungguhnya kematangan yang sebenar adalah kematangan yang bersumber ilmu , iman dan ketaqwaan .
Apabila suami menjadi teman yang terbaik , suami itulah yang mendapat tempat utama dalam doa , perhatian dan tumpuan isteri yang sejati . Kerana isteri mampu melihat syurga dalam setiap ketaatan dan khidmatnya pada suami .
Tidak mudah untuk mengungkap semua ini , lebih payah untuk saya dan kalian merealitikan . Segalanya ini bukan mudah , perlu mujahadah yang luar biasa namun in shaa Allah suami adalah teman terbaik , andai mampu menjadikan Allah rujukan awal yang terbaik . Segala-galanya kerana ALLAH .
-telah sempurna sebahagian IMAN dengan satu ikatan bernama PERNIKAHAN maka sempurnakanlah sebahagiannya lagi dengan KETAQWAAN-

-dipetik daripada artikel IluvIslam- :)

Manisnya Pernikahan Kerana Iman ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Perasaan itu ada di hati .
Dulu ia terpendam kerana sibuk study . Atau "Malaslah nak fikir , belum ready ."
"Belum sampai masanya lagi ."
"Macam mana nak mulakan , tak reti ."
"Saya memang sedang mencari lah ni ."
Perlahan-lahan , perasaan itu meresap ke hati .
"SubhanAllah , perasaan apakah ini ?"

Itulah perasaan yang suci , ingin saling menyayangi . Ingin saling melengkapi . Ingin dicintai . Ingin dirindui . Perasaan untuk bertemu pasangan . Di atas landasan pernikahan . Tatkala ia hadir dalam perasaan dan fikiran , layanilah ia dengan iman .
"Ya Allah Ya Rahman . Bimbinglah diriku menjadi jodoh yang baik . Temukan diriku dengan dia yang beriman . Permudahkanlah jalanku menuju pernikahan ."
Memilih melalui taaruf yang telus . Membincangkannya dengan ibu bapa , teman-teman yang berilmu lagi amanah . Hati lapang mendengar pandangan , terbuka menerima pesanan dari yang berpengalaman dan akhirnya keputusan itu , kepada Allah diserahkan .
"Ya Allah , aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar ."
Inilah antara untaian doa istikharah yang diajar Rasulullah SAW saat kita telah memilih dan mengenali latarbelakang calon jua bermusyawarah dengan insan-insan berilmu dan amanah . Kita membuat keputusan memilih si dia dan kita kemudiannya bukan meminta pada Allah agar dia menjadi jodoh kita tapi kita meminta keputusan Allah atas usaha-usaha kita dan pastinya atas ilmu dan kebijaksanaan Allah . Malah , itulah misteri yang sejak dulu Allah telah tetapkan .
Akhirnya kita bernikah . Alhamdulillah . SubhanAllah . Allahu Akbar .
Nikmat bernikah sebenarnya terlalu indah dari yang kalian bayangkan . Nikmat itu bukan hanya pada hubungan jasmani , bukan hanya kerana bersatunya emosi suami isteri tapi lebih besar dari itu . Nikmat bernikah itu ada pada hati-hati yang berusaha dihidupkan dengan iman .
Sangat indah saat hati mampu merasai kurnia Allah yang Maha Penyayang . Dia yang menitiskan sakinah , ketenangan dan kenyamanan berada dalam kasih sayang berpasangan . Cinta yang mengalir sebening air yang menyejukkan hati-hati yang beriman .
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang" 
(Surah Maryam ayat 96)
Indahnya menikah saat hati mampu merasa syukur atas limpahan rahmat Allah yang melingkari segenap kehidupan . Allah berkehendak menitipkan cinta dan rindu sesama suami dan isteri hingga kalian menikmati kebahagiaan .
"Ya Allah . Kasih sayangMu terlalu hebat , terlalu agung . Allah Yang Maha Mulia , Maha Pemurah , segala puji bagiMu Ya Allah . yang membenihkan kecintaan dan kerinduan di hati-hati kami suami isteri ."
Dia – pasangan kita - insan yang berbeza . Datang dari keluarga dan latarbelakang berbeza . Namun dengan iman , kalian melayani pasangan dengan baik , penuh kasih sayang dan kelembutan . Kalian meminta-minta pada Allahur Rahman .
"Ya Allah Yang Maha Memberi Petunjuk .  Tunjukilah kami dengan akhlak yang baik , jauhkan lah kami dari akhlak yang buruk ."
Karakter pasangan yang menguji perasaan , dihadapi dengan iman . Kalian bermujahadah untuk menolak kesalahan pasangan dengan cara yang lebih baik . Hingga kasih sayang semakin merimbun di dalam rumahtangga itu .

"Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia" 

(Surah Fussilat ayat 34)
Dengan iman , kalian saling berkhidmat pada pasangan hanya kerana mengharap keredhaan Tuhan . Hati-hati berusaha diikhlaskan .
Seorang isteri .. senyuman , perkataan , perbuatan , teguran , masakan , kebersihan , kelembutan , belaian , penjagaan zuriat dan rumahtangga seluruhnya mengharap pertolongan Allah Yang Maha Membantu .
Seorang suami .. harta benda , kediaman , kenderaan , kewangan , perhatian , kasih sayang , nafkah zahir batin pasangan , kebahagiaan rumahtangga yang dipimpin dan diusahakan . Semuanya kerana keyakinan dan ketaqwaan kepada Tuhan .
Apabila suami dan isteri berusaha membugarkan iman dan apabila pernikahan digerakkan di landasan iman , itulah syurga dunia yang diidamkan .
Namun di sana , ada suami dan isteri yang benar –benar teruji dengan keburukan pasangan . Tatkala dirinya berusaha memberi yang terbaik , pasangan sebaliknya memandang remeh amanah pernikahan .
Tingkah pasangan yang menyesakkan perasaan , bulan dan tahun berganti tiada perubahan , jauh dari keharmonian yang diimpikan . Wahai Tuhan , apakah Engkau sedang memberi hukuman ?
Maha Suci Allah dari menzalimi hamba-hamba-Nya . Namun , Allah dengan kasih sayang yang agung mengizinkan ujian getir menimpa rumahtangga kalian ,  kerana Dia begitu mencintaimu .
Dalam lafaz-lafaz doa kita yang dulu , bukankah kita memohon pernikahan untuk menambah iman ?
Nah , Allah memberi ujian kesenangan dan kesulitan dalam pernikahan agar pernikahan benar-benar menjadi wasilah untuk kita makin dekat , semakin dekat ke pangkuan-Nya . Makin mendalamkan iman dan cinta kita kepada-Nya .
Tika kesabaran teruji dengan kerenah pasangan , berimankah kita dengan janji Allah akan ada kesenangan selepas kesusahan ?
Tika kekusutan rumahtangga membelenggu jiwa , berimankah kita dengan ayat-Nya bahawa jalan keluar senantiasa ada buat hamba-Nya yang bertaqwa ?
Tika kita memaafkan dan bersabar dengan segala keburukan pasangan , berimankah kita bahawa kemanisan iman itu terhasil bila kita tulus mencintai kerana Allah ?
Ya , perkahwinan bukan mudah , terlalu banyak ranjau ujian , namun dengan iman pastinya tidak akan mudah hilang pedoman . Dengan iman , merasa Dia memberi bimbingan dan pertolongan . Melaluinya dengan kesabaran , kesyukuran . akhlak Rasulullah berusaha diterjemahkan , tuntutan Al-Quran berusaha direalitikan dalam kehidupan (rumahtangga) .
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Alangkah menakjubkan keadaan seorang Mu'min. Setiap persoalan yang dihadapinya selalu menjadi kebaikan. Dan sikap itu tidak bisa dimiliki oleh siapa pun kecuali orang Mu'min. Apabila kegembiraan menghampirinya, dia bersyukur, dan itu menjadi kebaikan baginya. Dan apabila kesusahan menimpanya, dia bersabar, dan itu menjadi kebaikannya baginya." 

(Hadis Riwayat Muslim)
Bahagialah kalian yang memilih iman sebelum , semasa dan sehingga pernikahan itu berlangsung di dunia . moga nikmatnya berterusan hingga ke syurga . In shaa Allah
Teruskan bermujahadah untuk merasa nikmat pernikahan yang amat manis lagi indah , jua menikmati musim-musim ujian cabaran agar pernikahan terus menjadi wasilah taqarrub ilAllah (dekat kepada Allah) .
-kesusahan adalah pengajaran dan didikan . Kesenangan adakalanya merosakkan iman-
-dipetik daripada artikel IluvIslam-