Assalamualaikum ..

Assalamualaikum :)

Sabtu, 8 Jun 2013

Berganding Bahu Menuju Ilahi ~

Bismillah . Assalamualaikum .

Sempurnanya Allah mengatur perjalanan hidup manusia , dikurniakannya nikmat dan rahmat yang berterusan pada kita dalam setiap tahap kehidupan . Namun bersama dengan setiap anugerah Allah itu , datang ujian dan tanggungjawab yang berat . Salah satu anugerah Allah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia ialah kurniaan suami atau isteri dan pernikahan .

Suami adalah manusia biasa , bukan malaikat , juga berjuang dengan fitrahnya yang sentiasa ingin mencari kebaikan dan kebenaran . Dengan fikiran dan perasaannya yang unik sebagai lelaki , yang semestinya berbeza dari minda dan jiwa seorang perempuan , seorang suami yang mengenal hakikat kehidupan akan berusaha memberi yang terbaik kepada perempuan yang sangat dekat dalam hidupnya yang bernama isteri . 
Dengan kelebihan fizikalnya , suami menjadi pelindung dan peneguh kepada isteri yang juga berjuang mencari kebaikan dan kebenaran . Dengan kekuatan ilmu dan iman , seorang suami mampu menjadi pembimbing , penasihat dan teman terbaik pada isteri . Seorang suami juga bertanggungjawab mengetuai perancangan dan aturan masa depan keluarganya dengan membuat keputusan – keputusan penting untuk kebahagiaan dan keberkesanan keluarga yang dibina , tentunya ini dengan bantuan isteri yang menjadi pendorong utamanya .
Namun realiti waktu kini memaparkan sukarnya mencari lelaki yang mampu menjadi teman terbaik . Umpama mencari sebutir permata di kawasan pasir putih yang saujana mata memandang . Saudara muslimah di sana sini ada yang sering bersedih kerana keadaan suaminya yang nampak macho dan gagah , namun kurang rajin dan tidak produktif dengan tanggunggjawab kerja di luar rumah , juga tidak membantu kepenatan isteri mengurus rumahtangga . Jika pun tidak membantu kerja-kerja rumah , bantulah menghibur emosi isteri dengan pujian dan penghargaan . Jua kata-kata cinta yang menenangkan .
Kerap juga didengari , suami yang diharapkan berkongsi ilmu , sering tersasar dengan perbuatan yang tidak bermanfaat , yang mengundang duka di jiwa isteri . Suami yang diharapkan berkongsi kekuatan iman , rupanya sering lalai menunaikan solat dan tidak berminat mendalami agama , sedangkan jiwa isteri memutik rasa untuk mendalami agama Allah dan Rasul-Nya . Isteri jua makan hati dengan akhlak suami yang kasar dan tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya .
Tika ini , di waktu hati seorang isteri berasa tawar dan berpasir menghadapi kekurangan suami , di manakah kekuatan kita untuk meletakkan suami sebagai teman terbaik ? Teman yang menjadi wasilah meraih syurga ?
Wahai saudara muslimahku , ayuh saya peringatkan diri ini dan kalian . tidak akan sekali-kali diri kita sebagai isteri mampu mengecap kebahagiaan sebenar berteman suami seandainya ALLAH dan Rasul tidak menjadi panduan terbaik . Andainya Al Quran dan As-Sunnah jauh dan bukan kecintaan kita , kegembiraan bersuami terasa hambar dan sebentar cuma .
Ayuh kita memuhasabah dan memperbaiki diri , andai diri ini berkeperibadian seorang isteri yang baik , pasti kita juga ada ruang untuk mengaurakan kekuatan untuk suami menjadi suami yang terbaik dengan izin Allah pastinya .
"Saya tak biasa , saya sibuk dan tak ada masa untuk membaca dan mentadabbur Al Quran"
"Saya tidak ada kitab-kitab hadis , saya bukan ustazah nak baca hadis , saya tak mampu beli buku-buku agama"
"Saya tak 'alim , saya bukan orang yang baik-baik macam isteri si fulan"
Wahai diriku dan saudaraku , kita memperuntukkan masa untuk berhias , membelek wajah dan tubuh , mengemas rumah , memasak , membersihkan diri dan anak-anak , maka peruntukkanlah masa juga untuk menghidupkan iman di hati dengan tilawah dan tadabbur -[merenung] ayat-ayat Al Quran , dan masa untuk menikmati manisnya hidangan Islam melalui hadis-hadisnya .
Dalam kesibukan bekerja dan mengurus rumahtangga , peruntukkanlah masa untuk belajar dan terus belajar tentang agama Allah yang memberi makna pada kehidupan sementara kita di dunia . Kita akan serabut melalui kehidupan dengan ilmu yang sedikit , kita menzalimi diri jika tidak berniat untuk menjadi isteri yang berilmu .
Carilah jua masa , ruang dan kesempatan untuk kita belajar menghias diri dengan akhlak mulia dan personaliti yang mampu memberi sumber kekuatan pada suami .
Kita merasa lelah berusaha melayan suami dengan terbaik , menjadi teman bersembang , melayan makan minum , menghibur di kamar , menjaga zuriat dan rumahtangganya , namun kebahagiaan kudus tidak hadir sama sekali ?
Kerana kita sedang menukar kebahagiaan pernikahan dengan kesedihan berpanjangan , bilamana Allah dan Rasul masih tidak menjadi cinta , matlamat dan rujukan utama hidup ini .
Apabila telah mengenal Allah dan Rasul , redha menjalani syariat-Nya , bermujahadah mentaati-Nya ketika itulah hati seorang isteri mampu menjadikan suaminya teman terbaik .
Nurani seorang muslimah yang ikhlas kerana Allah dan mengenal Allah sebagai harapan dan cita-cita utamanya , akan mampu mencintai dan mentaati suaminya dalam keadaan berat dan ringan , dalam keadaan suka dan duka .
Seorang isteri beriman sangat lapang dan berbesar hati berdamping dengan suaminya , dalam apa jua ujian dan cabaran berumahtangga . Dia menjadi cermin utama yang membantu suami memperbaiki diri menjadi lebih baik . Dia mendorong kebaikan suami , maka suami terus istiqamah memimpin diri dan keluarga ke jalan Allah . Dia menjadi pakaian yang melindungi kekurangan dan kesilapan suami , hingga suami yakin dan opitimis menjalani liku kehidupan yang semakin menggugat .
Dengan ilmu dan keimanannya , seorang isteri menjadi peneguh hati seorang suami . Dia bukan sekadar menghargai suami dalam diam , namun membuatkan suami benar-benar terasa dihargai dan difahami . Isteri yang bijak akan meraikan perbezaan suami sebagai seorang lelaki dan memahami karakter sendiri sebagai perempuan hingga apa jua pertimbangan berkaitan rumahtangga tidak semberono mengikut tindakan jua perasaan yang melulu .
Isteri menjadi teman terbaik tatkala dia berilmu untuk memimpin rumahtangga dan anak-anak dan dia juga bersedia membantu kepimpinan suami . Dia menjadi penasihat dan pengkritik yang berhikmah . Dia memberi idea yang bernas dan matang . Dan sesungguhnya kematangan yang sebenar adalah kematangan yang bersumber ilmu , iman dan ketaqwaan .
Apabila suami menjadi teman yang terbaik , suami itulah yang mendapat tempat utama dalam doa , perhatian dan tumpuan isteri yang sejati . Kerana isteri mampu melihat syurga dalam setiap ketaatan dan khidmatnya pada suami .
Tidak mudah untuk mengungkap semua ini , lebih payah untuk saya dan kalian merealitikan . Segalanya ini bukan mudah , perlu mujahadah yang luar biasa namun in shaa Allah suami adalah teman terbaik , andai mampu menjadikan Allah rujukan awal yang terbaik . Segala-galanya kerana ALLAH .
-telah sempurna sebahagian IMAN dengan satu ikatan bernama PERNIKAHAN maka sempurnakanlah sebahagiannya lagi dengan KETAQWAAN-

-dipetik daripada artikel IluvIslam- :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan